AntarabangsaIsu Semasa

Singapura Cadang “Undang-Undang Ketat” Mengekang Keganasan

Undang-undang baru yang dicadangkan oleh kerajaan Singapura telah mengundang kritikan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar keselamatan yang mendakwa bahawa peraturan itu akan menyekat kebebasan akhbar.

Memetik laporan Reuters, undang-undang tersebut akan membolehkan pihak berkuasa untuk melarang sesiapa sahaja daripada mengambil dan menyebarkan gambar atau video di kawasan-kawasan yang mengalami serangan pengganas, selain daripada menyekat komunikasi mesej bertulis dan audio di lokasi terbabit.

Sesiapa yang didapati melanggar peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda atau penjara.

Walaupun Singapura merupakan salah sebuah negara yang paling selamat di dunia, mereka sentiasa berjaga-jaga dan mengukuhkan lagi keupayaannya untuk mengekang keganasan susulan peningkatan kegiatan militan di Asia Tenggara.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, peraturan baru berkenaan bertujuan untuk membendung sebarang kebocoran maklumat kepada pengganas yang boleh menjadi risiko tinggi terhadap nyawa anggota-anggota pasukan keselamatan serta individu-individu lain yang terlibat.

Walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, segelintir pakar keselamatan memuji dan menyokong penguatkuasaan undang-undang tersebut.

“Ia (undang-undang) tidak bertujuan untuk menyekat kebebasan akhbar atau akses awam terhadap maklumat.

“Arahan hanya boleh dikeluarkan oleh komisioner polis, selepas menteri mengeluarkan perintah untuk melaksanakannya, dan hanya jika komisioner menganggapnya sebagai satu keperluan untuk menjalankan operasi keselamatan,” kata kementerian itu.

Kumpulan pemantau media, Reporters Without Borders (RSF) yang berpangkalan di Perancis, menyifatkan cadangan kerajaan itu sebagai “pelanggaran serius” terhadap kebebasan media.

Di dalam senarai Index World Press Freedom RSF, Singapura berada pada tangga ke 151 daripada 180 negara di seluruh dunia.

Sementara itu, Singapura juga sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang khas dalam usaha membendung gejala berita palsu.

Seorang pakar keselamatan di S.Rajaratnam School of International Studies, Rohan Gunaratna, menyokong cadangan ini sambil berkata, langkah tersebut boleh menjadi langkah pertama untuk mengadakan dialog mengenai amalan media dan usaha membanteras keganasan.

“Kerajaan perlu bekerjasama dengan media untuk memastikan mereka tidak berkompromi dengan keselamatan.

“Anggota-anggota media perlu dilatih untuk memastikan supaya laporan mereka tidak sepatutnya mengsensasikan keganasan atau secara tidak sengaja membantu pengganas dan menyebabkan kerosakan harta dan kehilangan nyawa,” kata beliau.

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker