AntarabangsaIsu Semasa

Pekerja Wanita Dunia Islam Mempunyai Potensi “Luar Biasa”

Peningkatan memberangsangkan bilangan pekerja wanita dalam Dunia Islam sejak 15 tahun lalu menunjukkan bahawa pada masa kini, jumlah kaum hawa di dalam tenaga kerja di rantau tersebut mencatatkan jumlah yang lebih besar berbanding Amerika Syarikat (AS) atau Kesatuan Eropah (EU).

“Hari ini, bilangan (pekerja wanita) adalah 155 juta orang, iaitu peningkatan lebih 50% dalam tempoh satu setengah dekad,” kata pakar ekonomi, Saadia Zahidi.

Sempena Hari Wanita Sedunia, Zahidi menjelaskan bagaimana bukunya berjudul “Fifty Million Rising”, yang diterbitkan pada Januari tahun ini, menggambarkan perubahan corak pekerjaan dan tenaga kerja menerusi kisah sesetengah wanita Islam yang memainkan peranan penting dalam ekonomi.

Walau bagaimanapun menurutnya, dunia Barat mungkin akan meneruskan pandangan negatif dan stereotaip mereka terhadap wanita Islam.

“Buku saya adalah mengenai kebangkitan luar biasa lebih daripada 50 juta wanita yang bekerja di seluruh dunia Islam, yang memfokuskan secara khusus terhadap 30 ekonomi termasuk banyak di dunia Arab, serta Pakistan, Iran, Turki, Kazakhstan, Indonesia, dan Malaysia,” katanya.

Ujar beliau, pendapatan gabungan kesemua 155 juta wanita yang bekerja di seluruh dunia Islam hampir mencatatkan jumlah AS $1 trilion (RM 4 trilion), sekali gus menjadikan mereka ekonomi ke-16 yang terbesar di dunia.

“Sebagai pengguna, pekerja, majikan, usahawan dan pembayar cukai, mereka (wanita Islam) adalah kuasa ekonomi baru, dan ini membawa perubahan (positif) kepada ekonomi dan masyarakat di negara-negara mereka,” jelas Zahidi ketika ditemubual oleh Arab News.

Dalam pada itu, kualiti dan ketersediaan pendidikan bagi golongan wanita di Arab Saudi juga adalah lebih baik berbanding pelbagai negara lain.

Separuh daripada semua wanita yang layak ke universiti telah melanjutkan pengajian mereka di institusi berkenaan, dan kadar ini lebih banyak daripada Brazil, India, serta China.

Tambah Zahidi, wanita-wanita tersebut mempamerkan potensi yang sangat hebat dan sekiranya ia digunakan sepenuhnya, mereka mampu memberi sumbangan besar untuk merealisasikan matlamat Visi 2030 untuk mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi.

“Perubahan undang-undang yang membolehkan wanita untuk memandu dan mendaftar perniagaan adalah permulaan yang bagus.

“(Namun) lebih banyak pembaharuan yang perlu dilaksanakan untuk memastikan kaum hawa boleh mengintegrasikan kemahiran mereka sepenuhnya ke dalam ekonomi menerusi pekerjaan dan keusahawanan,” ujar beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker