Gaya HidupPercutian

Mengapa Trend Workation Menjadi Kegemaran Masyarakat Jepun?

Workation adalah sebuah trend yang semakin popular. Nama trend ini merupakan hasil gabungan perkataan work dan vacation.

Idea bekerja semasa bercuti, workation bermula di Eropah dan Amerika Syarikat, popular dalam bidang IT serta bagi mereka yang hanya memerlukan komputer riba untuk bekerja.

Ramai yang percaya persekitaran yang kondusif dan segar seperti lokasi peranginan adalah lebih baik untuk tahap produktiviti pekerja serta dapat membantu pekerja mendapatkan idea-idea bernas.

TIDAK MENANGGUHKAN CUTI

Musim panas yang lalu, Japan Airlines telah menubuhkan  sistem workation mereka yang tersendiri. Sistem ini melibatkan  kira-kira 4,000 orang pekerja, tidak termasuk mereka yang bekerja secara syif di lapangan terbang dan di lain-lain tempat. Matlamat utama adalah menggalakkan pekerja untuk bercuti.

Tulis The Star, melaporkan daripada The Japan News, hanya sesetengah keadaan tertentu sahaja boleh dikategorikan sebagai workation. Contohnya, jika pekerja mahu bercuti selama tiga hari tetapi mereka hanya dapat bekerja pada petang hari kedua bercuti, maka ia diterima sebagai workation.

Sebaliknya, jika pekerja mengambil cuti selama tiga hari tetapi bekerja setiap petang selama tiga hari tersebut, ia tidak boleh dikategorikan sebagai workation.

Asuka Nakamaru, 38 tahun, yang bertanggungjawab ke atas sesi latihan kakitangan di syarikatnya, telah menggunakan sistem workation pada musim panas lalu ketika dia sedang bercuti di  kampung halaman suaminya di Wilayah Hiroshima.

Memainkan peranan penting dalam sebuah projek, Nakamaru mengambil keputusan untuk menggunakan workation kerana beliau terpaksa menghadiri mesyuarat kerja ketika sedang bercuti.

Dalam tempoh tujuh hari percutiannya, Nakamaru menetapkan satu masa untuk menyertai mesyuarat tersebut menggunakan teknologi persidangan video. Selesai sahaja mesyuarat pada jam 6 petang dia kemudian kembali bercuti bersama keluarganya.

Dengan adanya sistem workation, Nakamaru tidak perlu menangguhkan percutiannya

Golongan Jepun cenderung untuk memberi keutamaan kepada pekerjaan dan menangguhkan masa untuk berehat.”Saya ada terfikir untuk menangguhkan seluruh percutian disebabkan mesyuarat ini. Namun, dengan adanya sistem workation ia membolehkan saya meluangkan masa bersama keluarga,” ujar Nakamaru.

Sebuah kajian yang dijalankan oleh laman web percutian Expedia Japan ke atas 9,424 orang dari 28 negara pada tahun 2016, menunjukkan jarang sekali masyarakat Jepun menggunakan percutian berbayar. Malah sebahagian besar golongan Jepun akan berasa bersalah jika menggunakan cuti berbayar.

Mengubah tempoh kerja yang panjang di Jepun adalah tonggak bagi rancangan perubahan corak kerja oleh kerajaan negara tersebut. Penting untuk mengetengahkan bagi setiap pekerja tentang keperluan masa rehat.

Syarikat perkhidmatan IT yang berpangkalan di Tokyo Sonic Garden Inc juga ada menggunakan sistem workation.

Seorang pekerja syarikat itu, Tsukasa Nomoto, 23 tahun telah pergi ke Korea Selatan pada Julai lalu untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan. Untuk meluangkan lebih banyak masa bersama rakan-rakannya dia telah menggunakan sistem workation.

Dia telah menghadiri majlis perkahwinan tersebut pada hujung minggu, hari Isnin sampai Jumaat pula dia telah meluangkan masa bekerja di komputernya. Hujung minggu yang berikutnya dia telah meluangkan masa bersama-sama rakan-rakannya di sana.

Terang Nomoto, “saya bekerja dari Isnin-Jumaat kerana rakan-rakan saya juga bekerja pada hari tersebut. Meluangkan masa yang lama di sini membolehkan saya berjumpa mereka dengan lebih lama, ia satu pengalaman yang hebat.”

TARIKAN BAGI PENGGUNA WORKATION

Terdapat sesetengah kerajaan tempatan yang sedang berusaha untuk menarik orang ramai yang sedang menjalani workation untuk menetap di kawasan mereka.

Sebagai contoh, kerajaan Wilayah Wakayama telah membina sebuah fasiliti dengan kemudahan Internet di Tanabe.

Pendek kata workation adalah versi telecommuting (sistem bekerja dari rumah menggunakan Internet, email dan telefon)  yang melibatkan destinasi pelancongan. Namun begitu, supaya trend ini boleh berkembang, pekerja mesti terlebih dahulu sudah biasa menggunakan sistem telecommuting.

Sebuah kajian yang telah dijalankan sebuah syarikat IT  gergasi,  Google Japan pada Oktober lepas ke atas hampir 5,400 pekerja pejabat di seluruh Jepun tentang pekerjaan mereka menunjukkan hanya 18% daripada mereka bekerja di syarikat yang membenarkan telecommuting.

“Saya meragui perkembangan trend workation ini, hal ini ekoran hanya sesetengah golongan pekerja di Jepun yang boleh menentukan cara mereka bekerja,” terang Koji Chatani, seorang peniaga dalam bidang pelancongan yang mengetahui tentang corak bekerja di luar negara.

Walau bagaimanapun, kerajaan telah menetapkan sasaran bahawa menjelang tahun 2020, sebanyak 30% syarikat  di negara itu haruslah mengamalkan telecommuting.

Tomohide Kubo, seorang penyelidik kanan di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan mengatakan, bahawa adalah penting untuk memahami bagaimana sistem itu harus digunakan.

Sebagai contoh, sekiranya pekerja menukar percutian mereka ke workation kerana mereka tidak dapat menyelesaikan pekerjaan sebelum mereka mula bercuti, kemungkinan kerja yang dilakukan itu adalah terlalu banyak dan pekerja tidak akan dapat rehat yang mencukupi semasa bercuti

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker