AntarabangsaIsu Semasa

Britain Dan Arab Saudi Lebih “Kuat” Selepas Brexit?

Hubungan diplomatik di antara Arab Saudi dan Britain dijangka akan bertambah kukuh selepas Brexit (penceraian Britain dari Kesatuan Eropah/EU) dikuatkuasakan pada tahun depan.

Difahamkan, Britain sudah pun menjalinkan hubungan yang amat akrab bersama negara yang kaya dengan minyak itu, namun keadaan diramalkan akan menjadi lebih baik selepas bercerai dengan EU memandangkan Perdana Menteri, Theresa May pasti akan menerokai pelbagai peluang baru dengan Arab Saudi.

Namun persoalannya, adakah Britain benar-benar boleh bergantung kepada Arab Saudi?

“Tanpa ragu-ragu. Kedua-dua negara kami telah menjadi sahabat (sekutu) selama bertahun-tahun. Kita juga telah saling bergantung di antara satu sama lain dalam pelbagai bidang dan saya rasa ini tidak akan berubah (ke arah negatif).

“Saya menjangka ini (hubungan) akan lebih meningkat dan menjadi lebih kuat,” kata Menteri Luar Arab Saudi, Aldel al Jubeir.

 

MENGUKUHKAN PERDAGANGAN, PENDIDIKAN DAN KESELAMATAN

Memetik laporan Sky News, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Bin Salman memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Britain pada hari Rabu untuk mengadakan perbincangan bersama May bagi mewujudkan hubungan perdagangan, pendidikan, ekonomi, dan keselamatan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Difahamkan, inisiatif baru ini akan mendatangkan keuntungan “berbilion-bilion Pound” kepada Britain sekali gus mengurangkan beban yang perlu ditanggung selepas Brexit.

Tetapi sebagai balasan, Mohammed mahukan sokongan padu dari negara itu untuk menjayakan program-program pembaharuan sosial dan ekonomi Arab Saudi seperti yang tertakluk di bawah Visi 2030 mereka.

 

KONTROVERSI KRISIS KEMANUSIAAN YAMAN

Campur tangan ketenteraan Arab Saudi di Yaman untuk menentang kumpulan pemberontak Houthi telah meragut nyawa beribu-ribu orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Menurut pertubuhan amal War Child UK pada tahun lepas, syarikat-syarikat senjata UK turut dilaporkan ‘terlibat’ di dalam konflik itu kerana menjual senjata kepada Arab Saudi sekali gus meraih keuntungan lumayan bernilai lebih daripada £6 bilion (RM 33.9 bilion).

Oleh yang demikian, lawatan rasmi Putera Mahkota ke Britain telah mengundang reaksi negatif daripada pelbagai pihak, termasuk segelintir rakyat yang mengadakan demonstrasi dan kempen dengan hashtag #SaudiPrinceNotWelcome di media sosial bagi menyuarakan bantahan mereka.

Isu ini juga turut dibincangkan oleh May dan Mohammed, di mana kedua-dua pihak kini bersetuju mengenai kepentingan memberi akses kemanusiaan yang penuh tanpa sekatan dan ia merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan konflik serta kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Yaman.

Selain itu, kedua-dua negara juga memeterai perjanjian perdagangan dan pelaburan bernilai £65 bilion (RM 353 bilion), yang disifatkan sebagai rangsangan signifikan serta bukti yang jelas bahawa pihak antarabangsa yakin dengan prestasi ekonomi UK selepas Brexit.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button