AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Kemenangan Parti Modi Tamatkan Pemerintahan Komunis

Parti nasionalis India, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi telah mencatatkan kemenangan luar biasa dalam pilihan raya negeri Tripura, sekali gus menamatkan pemerintahan parti komunis, Communist Party of India (Marxist) yang juga dikenali sebagai CPI (M) selama 25 tahun.

Kemenangan besar ini juga dijangka akan meningkatkan lagi prospek BJP apabila ia bertanding bagi penggal kedua dalam pilihan raya pada tahun 2019 nanti.

Memetik laporan AFP, parti perdana menteri itu dan sekutunya berjaya meraih 43 daripada 59 kerusi dalam dewan undangan negeri itu, sekali gus meninggalkan hanya 16 kerusi kepada puak komunis.

“Rakyat tidak mempunyai masa atau penghormatan terhadap sebarang politik negatif dan bermasalah,” kata Modi menerusi laman Twitter peribadinya.

Tambah beliau lagi, penduduk India kini mahu melihat perkembangan dan pembangunan yang positif di dalam negara.

Kini, parti Modi memerintah di 19 daripada 29 negeri di seluruh India, sementara pakatan beberapa parti komunis dan kumpulan lain pula mentadbir di negeri Kerala, diikuti kumpulan kecil di negeri-negeri lain.

Difahamkan, komunis telah memenangi lima pilihan raya secara berturut-turut di negeri Tripura sejak tahun 1993 lagi, di mana tiga pilihan raya adalah di bawah pimpinan bekas ketua menteri, Manik Sakar.

Walau bagaimanapun, penganalisis politik, Neeraja Choudhury berkata, CPI (M) gagal untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan muda selain daripada gagal membina lebih banyak hospital serta infrastruktur-infrastruktur yang lain.

Selain itu, kepimpinan parti komunis juga masih dikawal oleh pemimpin-pemimpin veteran yang sudah berusia, dan mereka masih belum memberi peluang kepada calon muda untuk mengambil alih tanggungjawab itu.

Show More

Related Articles

Back to top button