AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Itali Menghadapi Parlimen Tergantung

Pilihan raya umum di Itali yang berlangsung pada 4 Mac baru-baru ini menyaksikan fenomena parlimen tergantung memandangkan tiada satu pun parti politik yang meraih kemenangan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Prospek penubuhan pakatan besar di antara parti Forza Italia (Go Italy) pimpinan bekas perdana menteri dan taikun media, Silvio Berlusconi dan parti pemerintah berhaluan tengah-kiri mungkin tidak akan dapat direalisasikan.

Susulan kebuntuan politik ini, berikut adalah tiga keadaan yang cenderung untuk berlaku:

 

PAKATAN POPULIS DAN PARTI LIGA UTARA

Gabungan Parti populis, Five Star Movement dan Parti Liga Utara berhaluan kanan agak mustahil untuk terjadi, namun ini merupakan satu-satunya pakatan yang boleh meraih majoriti di dalam Parlimen.

Berdasarkan tinjauan terkini, kedua-dua parti tersebut akan memegang 355 daripada 630 kerusi dalam Dewan Rakyat (Lower House) dan 168 daripada 315 kerusi di Dewan Negara (Upper House) sekiranya mereka bergabung.

Walau bagaimanapun, parti-parti berkenaan juga adalah euroskeptik (anti Kesatuan Eropah) dan pemimpin Liga, Matteo Salvini pula telah dituduh mencetuskan ketegangan kaum.

Oleh itu, gabungan Five Star Movement dan Liga berpotensi untuk menyebabkan huru-hara dan ‘kejutan luar biasa’ di seluruh Eropah.

 

GABUNGAN LIGA UTARA DAN FORZA ITALIA

Berdasarkan keputusan awal pilihan raya, gabungan Forza Italia dan Liga Utara dijangka hanya akan meraih 37% undian.

Namun, keputusan akhir undian dari segi kerusi sukar untuk diramalkan, memandangkan Itali kini menggunakan undang-undang pilihan raya baru buat pertama kali yang menggabungkan sistem perwakilan berkadar dan sistem undian majoriti (first-past-the-post).

Sekiranya pakatan ini meraih majoriti dan Liga Utara berada di hadapan Forza Italia, negara itu mungkin akan menyaksikan pencalonan Salvini sebagai perdana menteri Itali yang seterusnya.

 

KEBUNTUAN POLITIK

Sekiranya masih tiada majoriti jelas, Presiden Sergio Mattarella boleh memilih untuk meneruskan pemerintahan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Paolo Gentiloni.

Sekurang-kurangnya ini akan membuka ruang untuk menubuhkan kerajaan sementara, dan kemudian meminda undang-undang pilihan raya supaya pemilihan semula dapat dilaksanakan.

Tetapi, proses ini akan memakan masa memandangkan sesi rundingan hanya boleh dimulakan selepas ahli-ahli parlimen baru bermesyuarat buat pertama kali pada 23 Mac untuk melantik speaker parlimen.

Selepas kebuntuan politik dalam pilihan raya tahun 2013, negara itu memakan masa lebih daripada tempoh dua bulan untuk membentuk kerajaan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker