AntarabangsaIsu Semasa

Jepun Perlukan Pewaris Takhta Wanita?

Maharaja Jepun, Maharaja Akihito telah memegang takhta negara itu selama hampir tiga dekad dan baginda bakal berundur pada 30 April 2019.

Ini merupakan pengunduran pertama yang dilakukan oleh seseorang Maharaja Jepun sejak kira-kira 200 tahun dahulu.

Pada kebiasaannya, seorang Maharaja akan memerintah sehingga baginda mangkat, dan takhta secara automatik akan diwarisi oleh anak sulung lelaki yang juga merupakan Putera Mahkota.

Jadi, selepas pengunduran Akihito, kedudukannya akan diambil alih oleh Putera Mahkota Naruhito.

Dalam pada itu, takhta dalam keluarga diraja Jepun hanya boleh diwarisi oleh anggota-anggota lelaki sahaja.

Walau bagaimanapun, peraturan ini bakal mendatangkan masalah pada masa hadapan memandangkan terdapat hanya sedikit sahaja anggota lelaki di dalam keluarga diraja itu.

Selepas Putera Naruhito menaiki takhta pada bulan Mei tahun depan, hanya tiga orang sahaja yang layak untuk menjadi Maharaja seterusnya, iaitu:

1 – Putera Akishino (Adik kepada Putera Naruhito)  

2 – Putera Hisabito (Anak lelaki sulung Akishino)

3 – Putera Hitachi (Adik Maharaja Akihito)

Lebih membimbangkan, Putera Naruhito tidak mempunyai waris lelaki, di mana baginda hanya memiliki seorang cahaya mata perempuan tunggal, bernama Puteri Toshi.

Putera Akishino juga merupakan satu-satunya pewaris lelaki yang masih muda, sementara putera-putera lain sudah berada pada usia tua.

Menurut pakar sejarah Jepun, Profesor Madya Hideya Kawanishi dari Kobe College, persoalan untuk membenarkan anggota wanita mewarisi takhta perlu diperbincangkan, memandangkan keadaan sudah berada pada tahap ‘kritikal’.

Beliau berkata, langkah ini sekurang-kurangnya akan mengurangkan tekanan psikologi keluarga diraja untuk “berusaha” mendapatkan anak lelaki bagi mewarisi takhta.

Pada masa kini, anggota keluarga lelaki mempunyai pelbagai kelebihan, sementara wanita pula perlu mengikuti beberapa peraturan yang ketat.

Antara yang utama adalah mengenai ‘status diraja’ seseorang. Difahamkan, mana-mana anggota wanita dalam kalangan kerabat yang berkahwin dengan orang kebanyakan akan terus kehilangan status dirajanya buat selama-lamanya.

Sebagai contoh, cucu Maharaja Akihito, Puteri Mako, akan melangsungkan perkahwinan pada bulan November ini bersama kekasihnya yang merupakan rakyat biasa.

Perkara ini juga sangat membimbangkan kerana jika semakin ramai wanita kerabat mendirikan rumah tangga pada masa akan datang, maka keluarga diraja akan kekurangan anggota.

Oleh yang demikian, membenarkan wanita untuk mewarisi takhta dan tidak membuang status diraja mereka pada masa hadapan adalah sesuatu isu yang perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Namun begitu, untuk membuat sebarang pindaan, ia perlu mendapat persetujuan dan kelulusan daripada anggota-anggota parlimen terlebih dahulu.

Semua pihak terbabit juga perlu mengambil kira pelbagai faktor serta kelebihan dan kekurangan untuk membenarkan wanita menjadi Maharaja.

Paling mustahak sekali, keluarga diraja harus memastikan calon-calon yang layak untuk mewarisi takhta dapat melakukan tugas-tugas rasmi mereka dengan cemerlang dan menjadi seorang raja yang berjiwa rakyat.

Kini, keluarga diraja Jepun dihormati bukan kerana kuasa atau sejarah, tetapi sikap rendah diri, tingkah laku, serta budi bahasa yang dipamerkan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button