AntarabangsaIsu Semasa

Bajet Pertahanan China Lebih Rendah Berbanding AS

Baru-baru ini, China telah meningkatkan perbelanjaan bajet pertahanannya sebanyak 8.1% bagi tahun ini, dan ini merupakan peningkatan yang terbesar dalam tempoh tiga tahun.

Antara fokus utama adalah untuk membiayai program-program modernisasi ketenteraan dan senjata canggih, termasuk jet pejuang halimunan serta sistem anti peluru berpandu.

Walaupun ia adalah peningkatan bajet yang terbesar, ia masih tidak melebihi had dan dianggap sebagai “masih rendah”.

Walau bagaimanapun, China menegaskan bahawa peningkatan bajet ketenteraan ini bukan untuk mencetuskan fenomena perlumbaan senjata (arms race) bersama Amerika Syarikat (AS).

Malah, ketelusan negara itu dalam mendedahkan bajet mereka secara terbuka juga membuktikan bahawa China tidak menjadi ancaman kepada sesiapa pun, dan langkah ini diambil hanya untuk menaik taraf kemampuan pertahanannya.

“Bajet pertahanan China hanya merangkumi 1/4 daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan AS. Dan jika dikira secara per kapita, ketenteraan China masih ketinggalan jauh di belakang negara-negara maju yang lain,” menurut akhbar China Daily.

Dalam pada itu, China juga melihat AS sebagai ancaman terbesar keselamatannya, memandangkan Washington di bawah pimpinan Presiden Donald Trump kerap mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berkontroversi.

Trump telah mengemukakan bajet ketenteraan yang terbesar sejak tahun 2011, yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi pertahanan AS selain daripada “menangkis” kekuatan China dan Rusia yang semakin berkembang.

Sementara itu, sebuah lagi akhbar China bernama Global Times berkata, China akan meningkatkan bajet pertahanannya sebanyak 20% hingga 30% sekiranya negara itu benar-benar mahu mengembangkan ketenteraan mereka secara ketara dan memulakan perlumbaan senjata dengan AS.

“China secara jelas tidak mahu mencetuskan perlumbaan senjata dengan AS. Jika tidak, sudah tentu mereka akan meningkatkan perbelanjaan pertahannya berpuluh kali ganda,” kata akhbar itu.

Tambahnya lagi, provokasi AS di Laut Cina Selatan, ketegangan di Selat Taiwan dan gabungan Jepun, Australia, AS serta India membuatkan China terpaksa meningkatkan perbelanjaannya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button