Bisnes & Ekonomi

Mengapa Ramai Warga China Meninggalkan Silicon Valley?

Semakin ramai rakyat China yang berkerja di luar negara memilih untuk kembali ke negara asal mereka. Digelar ‘penyu yang kembali ke daratan’ banyak sebab yang membuat mereka memilih untuk kembali ke tanah air mereka.

Beberapa tahun lalu, Wang Yi hidup selesa di Amerika. Beliau baru sahaja habis belajar di Princeton, bekerja di Google serta memiliki sebuah kondo di Silicon Valley.

Pada tahun 2011, dia berbincang dengan isterinya tentang mahu kembali ke China. Dia bosan bekerja sebagai pengurus produk untuk syarikat gergasi tersebut  dan mempunyai keinginan untuk memulakan syarikatnya sendiri di tanah air mereka.

Wang Yi sudah mempunyai kehidupan yang stabil di licon Valley

Namun, pada mulanya tidak mudah untuk isterinya meninggalkan California yang mengasyikkan untuk Shanghai yang sibuk. “Ketika itu, kami baru dapat tahu dia sedang mengandung.

“Kami mengambil masa  beberapa minggu sebelum dapat membuat keputusan, tetapi akhirnya dia bersetuju,” ujar Yi, kini 37.

Risiko yang diambilnya berhasil: aplikasi pengajaran bahasa Inggerisnya Liulishuo atau LingoChamp menjana AS $ 100 juta pada bulan Julai 2011, menjadikan beliau antara alumni Alumni Silicon Valley yang berjaya yang direkrut untuk kembali ke China.

SUMBER MANUSIA TERBAIK SEKTOR TEKNOLOGI CHINA

The Star memetik Bloomberg, bahawa rakyat China yang telah dilatih di AS menjadi sumber tenaga utama dalam memangkin perkembangan syarikat milik China dan untuk menguasai sektor teknologi seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI).

Jika dahulu graduan kolej China sering menginginkan pekerjaan berprestij di luar negara dan kewarganegaraan asing, kini ramai yang tertarik dengan peluang kerjaya di tanah air mereka, di mana kini terdapat banyak sumber modal bagi perniagaan.

Malah sektor kerajaan juga ada menawarkan insentif kewangan untuk penyelidikan yang berteknologi tinggi.

Walaupun mendapat pekerjaan di syarikat teknologi gergasi AS pernah diberikan status yang sangat masyhur, namun kini mendapat pekerjaan dengan perusahaan negara China juga  (sebagai contoh syarikat gergasi seperti Tencent Holdings Ltd serta syarikat yang baru meningkat seperti syarikat berita Toutiao) boleh dikira sama hebat seperti  mendapat pekerjaan di syarikat ternama di dunia barat.

Baidu Inc – sebuah syarikat carian gergasi yang kurang dikenali di luar China telah berjaya meyakinkan bekas pekerja Microsoft, Qi Lu untuk menyumbangkan kemahirannya dalam AI, menjadikan beliau salah seorang rakyat China yang berprofil tinggi yang kembali ke kampung dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Alibaba Group Holding Ltd merupakan pemangkin bagi penghijrahan ini.  Segala-galanya berubah saat syarikat e-dagang ini menawarkan sahamnya kepada orang awam pada tahun 2014. Alibaba dan Tencent kini antara 10 syarikat paling berharga di dunia setaraf dengan Amazon.com Inc dan Facebook.

Sektor teknologi telah menggantikan sektor kewangan sebagai tarikan terbesar rakyat China untuk pulang ke negara ibunda mereka. Menurut sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2017 ke atas 1, 821 orang didapati 15.5% mereka yang pulang ke China adalah daripada sektor teknologi. Jumlah ini adalah  10% lebih dari kajian terakhir mereka yang telah dijalankan pada tahun 2015.

Namun begitu, bukan semua orang mengambil keputusan untuk meninggalkan Silicon Valley. Menurut  laporan LinkedIn pada tahun 2017, terdapat 850,000 orang jurutera AI di seluruh Amerika, yang mana 7.9% daripada mereka adalah berbangsa Cina.

Kebanyakan mereka yang memilih untuk berbuat demikian adalah etnik Cina yang tidak mempunyai hubungan yang mendalam dengan China atau tidak berminat untuk bekerja di sana.

Pencarian untuk rakyat China yang bekerja di AS  telah membuka peluang pekerjaan bagi sesetengah pihak. Di dalam kumpulan-kumpulan WeChat dan Facebook, terdapat perekrut  dan jurutera yang rancak berbual tentang perkara ini.  Antara ciri-ciri individu yang dicari perekrut pekerjaan adalah individu tersebut telah mendapat taraf penduduk tetap, tidak mempunyai anak, atau mempunyai anak yang sedang meningkat dewasa.

Sejak tiga tahun lalu, Jay Wu telah berjaya mendapatkan lebih 100 orang  jurutera untuk syarikat-syarikat China. Pengasas bersama Global Career Path telah mendirikan komuniti dalam talian untuk pelajar yang berminat untuk bekerja dengan mereka.

Hal ini didorong oleh tiga ciri penting syarikat-syarikat gergasi di China: pertumbuhan yang konsisten dalam peningkatan gaji,  peluang yang banyak serta aura ‘kampung’.

PENDAPATAN LEBIH TINGGI DI ‘KAMPUNG’

Ruang Internet China  juga sedang menikmati era yang stabil, dengan jumlah pendapatan kadang kala melebihi rakan sejawatan mereka di Amerika. Satu syarikat permulaan dikatakan telah mengupah jurutera AI dengan bayaran gaji  dan saham bernilai AS $ 30 juta (RM119.79 juta) dalam tempoh empat tahun.

Bagi mereka yang berat hati untuk meninggalkan Amerika pula, syarikat-syarikat China sedang pergi ke mereka. Alibaba, Tencent dan Baidu adalah antara syarikat yang telah membina atau mengembangkan makmal mereka di Silicon Valley.

Walaubagaimanapun, dianggap terdapat lebih banyak peluang kerjaya di tanah air. Walaupun terdapat ramai jurutera Cina di Silicon Valley, terdapat sekatan untuk kenaikan pangkat, sebuah fenomena yang digelar sebagai “Siling Buluh”.

“Semakin lama semakin ramai jurutera Cina yang bekerja di Silikon Valley mendapati lebih menguntungkan jika mereka bekerja  dengan syarikat dari China” ujar Hans Tung,  seorang rakan pengurusan di firma GGV yang menganjurkan acara untuk mencari bakal pekerja yang berpotensi dan berbakat.

Terangnya “samaada di Google, di LinkedIn, di Uber atau di AirBnB, mereka semua mempunyai jurutera Cina yang sedang memikirkan ‘Patut saya menetap di sini  atau patut saya pulang ke kampung?’”

PELBAGAI SEBAB MEMBUAT MEREKA PULANG KE KAMPUNG

Lagi satu sebab yang menarik jurutera Cina kembali ke China  adalah kadar data yang banyak yang memudahkan mereka untuk melakukan kajian di China.

Sebagai contoh, sebuah syarikat baru China, SenseTime telah bekerjasama dengan puluhan jabatan polis untuk mengesan ciri-ciri seperti wajah dan etnik seseorang, seterusnya membantu negara itu membangunkan salah satu mesin pengawasan yang paling canggih dan meluas di dunia.

Xu Wanhong  telah meninggalkan program Ph. D di dalam Komputer Sains di Universiti Carnegie Mellon pada tahun 2010 untuk bekerja dengan Facebook serta menguruskan news feed laman sosial popular tersebut. Perjumpaan secara tidak sengaja dengan rombongan syarikat permulaan dari China UCAR Technology menjurus kepada persahabatan dalam talian, seterusnya pada tahun 2015, dia menerima tawaran untuk bekerja di China.

Hari ini dia bekerja di Kuaishou, sebuah syarikat perkhidmatan video yang dikatakan bernilai lebih daripada AS $ 3 bilion (RM11.97 bilion), dan berulang-alik sejauh 20 kilometer dari luar Beijing  untuk ke tempat kerja. Keadaan ini jauh berbeza daripada bar sarapan dan ruang pejabat mewah yang terdapat di ibu pejabat Facebook di Menlo Park.

Namun jelasnya, “Saya tidak pergi ke AS untuk memiliki rumah besar. Saya pergi ke sana kerana tertarik dengan masalah yang luar biasa”.

Di samping itu, ada  yang memilih untuk kembali ke kampung kerana hubungan mereka dengan tempat asal. Sehingga kini tiada teknologi yang boleh mengubah kenyataan Shanghai dan San Francisco dipisahkan oleh penerbangan selama 11 jam. Malah terdapat juga perbezaan budaya yang sangat ketara antara kedua-dua negara itu.

Yang Shuishi yang berasal daripada Chongqing telah menggunakan nama Seth dan mendapatkan pekerjaan impiannya sebagai jurutera perisian di kampus Redmond Microsoft. Namun pinggir bandar Amerika tidak sesuai dengan seorang lelaki yang mana kampungnya mempunyai kira-kira 40 kali ganda penduduk di Seattle.

Walaupun berjaya mencipta kerjaya ketika bekerja di Google dan Facebook, kehidupan di Amerika yang sunyi menyebabkan dia kembali ke China setelah puas hidup di Barat.

Ujarnya, “di sana, kita hanya pekerja kecil di sebuah mesin besar dan tidak akan dapat memainkan peranan yang penting. Walaupun saya mati keracunan oleh udara di sana dan hidup lebih pendek sepuluh tahun, keputusan ini  pasti lebih baik daripada tinggal di AS.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button