AntarabangsaIsu Semasa

Senjata Baru Rusia “Kebal” Dan Tidak Boleh Dikesan

Sebagai tindak balas terhadap ancaman Amerika Syarikat (AS), Presiden Rusia, Vladimir Putin memaklumkan bahawa negaranya itu telah berjaya membangunkan senjata nuklear teknologi baru yang ‘kebal’ dan tidak boleh dikesan.

Kemajuan ini sekali gus meningkatkan keupayaan pertahanan dan imej Rusia secara menyeluruh, selain daripada turut ‘menggerunkan’ musuh-musuhnya.

Putin berkata, pembangunan senjata Rusia tidak mencetuskan fenomena perlumbaan senjata (arms race) seperti Perang Dingin dahulu.

Kremlin juga menafikan dakwaan AS yang menuduh Rusia melanggar perjanjian pengawalan senjata yang dipersetujui ketika zaman peperangan itu.

Presiden itu mendedahkan keupayaan senjata baru tersebut ketika berucap di sebuah pusat pameran, di mana beliau membentangkan video yang menunjukkan rangkaian peluru berpandu, dron nuklear bawah laut dan peluru berpandu hipersonik.

Memetik laporan Sky News, Putin menyatakan bahawa sistem peluru berpandu hipersonik baru bergelar “Avangard” boleh terbang 20 kali ganda lebih pantas berbanding kelajuan bunyi dan ia akan menyerang sasaran seperti ‘meteorit dan bebola api’.

“Ini menjadikan senjata tersebut ‘kebal’ daripada sebarang bentuk (sistem) pertahanan udara dan anti-peluru berpandu,” kata beliau sambil menyifatkannya sebagai “senjata ideal”.

Selain itu, Rusia juga telah membangunkan alat-alat peranti bawah laut yang tidak memerlukan krew untuk mengendalikannya, di mana ia boleh bergerak lebih laju daripada kapal selam dan torpedo, serta mampu membawa peledak nuklear.

“Mereka (negara-negara Barat), perlu memahami realiti baru ini dan mengetahui apa yang dibentangkan ini, bukan satu penipuan,” ujar Putin.

Tegasnya lagi, kewujudan senjata baru ini menjadikan sistem pertahanan anti-peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak lagi relevan.

Menurut Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu pula, senjata Rusia kini boleh memintas semua sistem anti peluru berpandu yang wujud pada masa kini seperti yang mahu digunakan oleh AS di timur Eropah dan Korea Selatan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button