Isu SemasaTempatan

Kelebihan Dan Kekurangan Pinjaman Bersama Yang Anda Perlu Tahu

Pinjaman bersama atau “joint loan” merupakan pilihan kebanyakan individu apabila hendak membeli rumah sekiranya nilai kediaman itu terlalu tinggi untuk gaji seseorang.

Dengan adanya joint loan, anda dan seorang lagi individu lain yang bersetuju untuk membuat pinjaman akan mempunyai peluang untuk memiliki hartanah itu bersama-sama.

Tetapi, kaedah pinjaman ini hanya boleh dilakukan bersama keluarga-keluarga rapat seperti ibu bapa, adik beradik, ataupun suami/isteri yang berusia 18 tahun ke atas, tetapi tidak melebihi 60 tahun.

Namun pada kebiasaannya, cara ini menjadi pilihan pasangan suami isteri yang menggabungkan penyata gaji mereka bagi memudahkan sebarang pinjaman untuk diluluskan.

Menurut Star Property, proses permohonan juga adalah sama dengan pinjaman peribadi, di mana setiap pihak perlu hadir semasa mengendalikan prosedur.

Walau bagaimanapun, joint loan ini bukanlah sesuatu kaedah yang ‘sempurna’ memandangkan ia mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

 

KELEBIHAN

1. Pendapatan Terkumpul Yang Lebih Tinggi

Selain daripada pendapatan hanya pendapatan anda, pihak bank akan menilai nisbah hutang kepada pendapatan (DTI) berdasarkan pendapatan gabungan di antara anda dan pasangan.

DTI yang rendah akan meningkatkan pinjaman tersebut untuk diluluskan, memandangkan anda tidak mendatangkan risiko yang tinggi kepada pihak bank.

Berikut adalah contoh yang diberi oleh Star Property:

Pendapatan A: RM 4,000

Pendapatan B: RM 3,500

Komitmen Bulanan: RM 1,300 (kenderaan A dan B) + RM 1,500 (sewa rumah) + RM 300 (utiliti)

DTI: (RM 1,300 + RM 1,500 + RM 300) daripada pendapatan terkumpul (RM 4,000 + RM 3,500) = 0.413

 

2. Skor Kredit Yang Baik

Proses pinjaman akan menjadi lebih mudah sekiranya anda dan pasangan mempunyai rekod skor kredit yang bagus.

Membayar semua bil tepat pada masanya juga adalah satu kelebihan kerana ia akan meningkatkan kepercayaan bank memandangkan anda mempunyai rekod pembayaran yang baik.

 

3. Peluang Untuk Lulus Yang Tinggi

Difahamkan, peluang untuk pinjaman anda diluluskan menerusi joint loan adalah 60% berbanding pinjaman peribadi perseorangan.

 

KEKURANGAN

1. Hartanah Perlu Dikongsi Bersama

Memandangkan hartanah yang dibeli adalah hak milik bersama, sebarang keputusan yang ingin dilakukan juga perlu mendapatkan persetujuan setiap pihak.

Anda tidak boleh menjual atau menyewa kediaman anda sekiranya pihak lain yang terlibat tidak bersetuju.

Sekiranya sudah sebulat suara bersetuju untuk menjualnya, keuntungan akan dibahagikan sama rata dan adil.

 

2. Tanggungjawab Ke Atas Pasangan

Anda perlu sentiasa memastikan semua pihak membayar bahagian masing-masing secara konsisten supaya ia tidak menjejaskan skor kredit anda pada masa akan datang.

Sebagai contoh, jika anda sudah membayar bahagian anda untuk sesuatu bulan itu tetapi pihak lain tidak memenuhi komitmen mereka, maklumat akan direkodkan oleh pihak bank, dan ia akan menyukarkan anda untuk membuat pinjaman  di masa hadapan.

 

3. Kekurangan Pinjaman Pada Masa Depan

Jika mengambil joint loan, anda dan pasangan hanya boleh memiliki dua rumah dengan melakukan pinjaman bank sebanyak 90%.

Untuk rumah ketiga dan seterusnya pula, bank hanya akan memberi 70% pinjaman kepada anda.

Bagi mereka yang membuat pinjaman peribadi pula, bank akan masih memberi 90% pinjaman untuk rumah ketiga dan keempat.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pastikan anda mempertimbangkan setiap perkara sebelum memutuskan untuk melakukan sesuatu pinjaman itu, terutamanya jika ia melibatkan pelbagai pihak.

Anda juga perlu memastikan pihak kedua itu adalah individu-individu yang berdisiplin, bijak menguruskan wang, serta boleh dipercayai untuk mengelak daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini yang boleh menjejaskan skor kredit anda.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button