Isu SemasaTempatan

Hari Valentine Kaum Cina

Jika anda mempunyai kawan Cina, pasti tahu bahawa hari ini merupakan hari Chap Goh Mei yang menandakan berakhirnya Perayaan Tahun Baru Cina iaitu hari ke-15 dalam kalendar lunar mereka.

Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei.

Chap Goh Mei juga dikenali sebagai ‘Hari Valentine’ bagi kaum Cina kerana di malam hari, para gadis akan berpakaian serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang terbaik buat diri mereka.

Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan.
Jika di Malaysia, acara ini disambut meriah di negeri Pulau Pinang. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai.

Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, opera Cina, dan mengimbang bendera besar “Chingay”.

Walau bagaimanapun, menurut akhbar TheStar, Chap Goh Mei ini disambut dengan cara berlainan mengikut suku masing-masing.

Untuk suku Hokkien, Chap Goh Mei juga dikenali sebagai Pesta Tanglung kerana jalanan pasti akan dihiasi tanglung yang cantik. Manakala wanita yang masih belum berkahwin akan menulis butiran diri di atas sebiji limau mandarin sebelum menghanyutkannya di sungai dengan harapan seorang jejaka menjumpai limau mandarin tersebut.

Menurut mereka, limau mandarin juga merupakan simbol nasib baik dalam bercinta.

Suku etnik Hainan pula menganggap Chap Goh Mei sangat penting kerana ia menandakan berakhirnya musim bunga dan ia merupakan tradisi yang tidak boleh dilupakan.

Lelaki Hainan yang berasal dari Wenchang di Hunan, China merupakan lelaki pemalu dan selalunya akan mengambil kesempatan pada hari ini untuk meluahkan perasaan mereka terhadap wanita yang mereka minat dengan cara mencuri sayur dari rumah wanita tersebut. Para lelaki Hainan percaya dengan mencuri sayur tersebut, ia akan memberi mereka nasib yang baik dan tuah dalam memikat wanita.

Apa yang menjadi identiti dan kelainan orang Hainan berbanding suku yang lain ialah, mereka akan membuat dan memakan snek yang diperbuat dariapda kelapa, tepung pulut beras, minyak bijan dan kacang rebus yang bernama Yi Bua. Suka lain akan menjamah ladu manis yang dikenali sebagai tang yuan.

Menurut suku Hakka, pada zaman Dinasti Tang, pintu istana kota akan ditutup pada 11 malam kecuali pada hari Chap Goh Mei di mana ia akan dibuka sepanjang hari. Manakala pada hari ini juga, wanita dibenarkan meninggalkan istana dan meraikan hari Chap Goh Mei bersama kaum lelaki.

Memandangkan Hari Chap Goh Mei juga merupakan bulan purnama yang pertama dalam kalendar Cina, penduduk yang tinggal berdekatan sungai atau laut boleh menyaksikan fenomona dua bulan akibat pantulan cahaya bulan pada air. Pada masa ini, ramai akan berdoa di dalam kuil untuk mendapatkan jodoh yang terbaik.

Menurut seorang pakar Feng Shui, pada tahun ini wanita Cina yang masih belum berkahwin digalakkan untuk menghanyutkan limau mandarin pada waktu 5.30 petang sehingga 8.59 malam dan menghala ke arah Tenggara. Jika anda terlepas pada masa ini, pakar tersebut tidak menggalakkan anda untuk menghanyutkan limat tersebut kerana waktu yang baik telah berlalu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close