Makan & Minum

7 Variasi Sandwic Dari Seluruh Asia Anda Harus Cuba

Mari kita lihat variasi sandwic dari seluruh Asia.

  1. Roti Kaya Bakar – Malaysia

Biasanya, hidangan ini dimakan pada waktu pagi berserta minuman teh tarik, kopi atau minuman panas yang lain. Sajian ini pada mulanya amat popular dihidangkan di kopitiam tetapi kini telah biasa dihidangkan dikedai makan Melayu dan restoran mamak.

Roti Kaya Bakar berasal dari orang Hainanese, di mana kebanyakannya bekerja sebagai tukang masak di atas kapal British pada abad ke-19. Apabila mereka menetap di Malaya, mereka mencipta sandwic ini dengan menukarkan jam kepada kaya.

2. Roti John – Singapura

Roti john ialah sandwic omelet yang merupakan makanan snek popular di Brunei, Malaysia dan Singapura terutamanya ketika bulan Ramadan.

Bahan utama dalam penyediaan roti john termasuk daging cincang (ayam atau kambing), bawang, telur, sos tomato-chili dan roti baguette.

Ia dikatakan berasal dari Singapura pada tahun 1960-an oleh seorang penjual untuk memajukan perniagaanya yang terletak di Botanic Garden di Singapura. Penjual tersebut memberi nama ‘John’ (nama samaran untuk lelaki Kaukasia) kerana ia popular di kalangan pelanggan barat.

3. Banh Mi – Vietnam

Roti ini bukan sahaja popular di negara asalnya tetapi semakin menjadi makanan kegemaran ramai di seluruh dunia.

Bahn Mi yang membawa maksud “roti gandum” bermula dari tahun 1880-an ketika orang Perancis membawa roti baguette mereka, yang disapu dengan mentega dan diisi ham, ke negara tersebut. Selepas tahun 1954, apabila Perancis menamatkan jajahan mereka, rakyat Vietnam meningkatkan lagi kesedapan sandwic ini dengan menambah daging, jeruk sayur, dan herba segar.

4. Bread Omelette – India

Roti ini dibuat menggunakan telur yang dicampur dengan bawang, cili, garam masala dan serbuk kari. Kemudian campuran itu dituangkan ke dalam kuali dan diletakkan roti putih untuk dimasak seketika. Pelanggan boleh meminta untuk menambah keju.

5. Rou Jia Mo – China

Pada tahun 2016, rou jia mo, yang bermaksud “daging di dalam roti”, telah dinamakan sebagai warisan budaya tidak ketara Wilayah Shaanxi.

Sandwic yang berasal dari utara China ini menggunakan bahan yang sama seperti roti pau tetapi ia dimasak di dalam kuali. Biasanya, roti ini diisi dengan inti khinzir (bahagian perut). Di kawasan Muslim pula, seperti kawasan Xi’an, ia diisi dengan daging.

Roti ini dikatakan telah wujud sekurang-kurangnya 2,000 tahun yang lalu.

6. Gaeran To Su Tu – Korea Selatan

Roti bakar Korea ini dibuat dengan inti omelet yang dicampur dengan kobis dan lobak merah. Selain itu, ia ditambah dengan ham, keju, mayonis dan sos tomato.

7. Yakisoba Pan – Jepun

Makanan ini sangat popular di Jepun. Mi telur yang digoreng bersama sos soya dan worcestershire, dicampur dengan daging atau sayur-sayuran. Ia dihidangkan bersama roti hotdog dan kemudian dihiasi dengan jeruk halia, rumpai laut kering dan mayonis.

 

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker