Isu SemasaTempatan

TN50 Langkah Ke Fasa Kedua

Transformasi Nasional 2050 atau #TN50 merupakan sebuah inisiatif pembangunan negara yang merangkumi tempoh 30 tahun bermula 2020 hingga 2050.

Diterajui oleh Menteri Belia Dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, TN50 akan dipacu oleh matlamat dan sasaran jelas yang akan dibangunkan menerusi proses perundingan yang telah bermula sejak tahun 2017 dan akan berakhir pada 2019.

Menerusi dialog-dialog yang diadakan, kerajaan mengambil pendekatan “bottom up” (dari bawah ke atas) dengan mengambil perhatian terhadap semua pandangan serta pendapat golongan muda untuk mencorak masa depan negara, sekali gus akan berusaha untuk merealisasikan aspirasi mereka.

Dalam pada itu, usaha ini juga bukan bertujuan untuk ‘menolak tepi’ Wawasan 2020, tetapi ia sebaliknya adalah kesinambungan kepada wawasan tersebut untuk memantapkan lagi matlamat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam semua aspek termasuk ekonomi, kesejahteraan rakyat dan juga inovasi.

2018 menandakan genap setahun siri dialog TN50, di mana lebih daripada 130 dialog telah dilaksanakan di seluruh negara termasuk kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Pantai Timur.

Kini memasuki fasa kedua, berikut adalah kupasan YB Khairy menerusi program Soal Jawab yang disiarkan di TV3 pada minggu lepas.

 

JIKA SEMUA ASPIRASI DILAKSANAKAN, ADAKAH MALAYSIA BAKAL MENJADI NEGARA SEPERTI DIIMPIKAN? 

Saya percaya prinsip dalam laporan aspirasi bertepatan impian sebuah negara yang saya sendiri dambakan. Melihat Malaysia berdaya saing pada peringkat global, penanda aras kita bukan di rantau ASEAN, sebaliknya 20 teratas di dunia.

PM kata cukuplah penanda aras kita dari dahulu setakat itu sahaja. Kita mestilah menggunakan penanda aras antarabangsa, tetapi pada masa sama menjadi negara adil, mempunyai nilai penyayang dalam masyarakat dalam memastikan tiada ketinggalan daripada arus perdana.

Masalah sosial kalau tidak dihapuskan, kurangkan sehingga peringkat tiada isu besar. Malaysia mempunyai pembangunan seimbang, jaga setiap kawasan dan negeri, tidak tertumpu kepada bandar besar sahaja. Lestari, bermaksud kita jaga alam sekitar untuk kegunaan generasi masa depan.

Malaysia yang mempunyai kebertanggungjawapan tinggi, maksudnya politik dan rakyat berintegriti. Selalu kata kerajaan perlu bertanggungjawab, tetapi rakyat juga wajar memikul tugas sama, iaitu menggalas peranan dalam memastikan kebersihan, tanggungjawab sivik dan alam sekitar bersih.

Kalau kita dapat tepati ini semua, saya yakin Malaysia akan menjadi negara terbilang kerana ramuannya sudah ada. Prinsip laporan mencerminkan perpaduan Malaysia, identiti kita tidak dijadikan bebanan. Perbezaan bukan bebanan, sebaliknya aset.

 

ADAKAH PERANGKAAN DUA JUTA BELIA CUKUP UNTUK MEWAKILI ASPIRASI RAKYAT MALAYSIA DALAM MEMBENTUK DASAR NEGARA? 

Saya rasa dua juta bukan angka kecil kerana mustahil untuk kita dapat pembabitan setiap orang. Sasaran awal adalah 1.5 juta, justeru kita berupaya melepasi sasaran berkenaan disebabkan anak muda melihat platform ini ikhlas dan dibentuk dengan jujur, bukan kempen politik atau propaganda kerajaan.

Ia adalah kerajaan yang ingin tahu apa harapan, cerita, impian dan aspirasi orang muda untuk 30 tahun akan datang dan pada masa sama, apabila saya adakan dialog, saya gunakan peluang itu untuk mengingatkan mereka, adakah pola dan perkembangan sama untuk 30 tahun akan datang.

Kita akan menjadi masyarakat lebih berumur, berdepan perubahan sistem kesihatan, teknologi, geopolitik, organisasi, kekangan makanan dan gangguan berkaitan. Ini semua meletakkan persekitaran pemikiran dalam pemikiran dialog hingga memaksa memikirkan soal mencabar keselesaan mereka.

 

APAKAH SANDARAN YANG DIGUNAKAN DALAM KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN SEBAGAI PROSES SARINGAN TN50?

Antara ujian kita laksanakan adalah kos. Kita tidak mahu janjikan perkara yang tidak dapat dilaksanakan daripada aspek kos.

Sandaran kedua yang digunakan adalah impak, jika kesan kepada rakyat kecil, itu akan dikemudiankan. Ketiga, kesesuaian cadangan itu terhadap perubahan teknologi, mungkin cadangan itu hari ini bagus, tetapi perubahan teknologi bakal memberi sisi berbeza.

Contohnya, perubahan teknologi yang bakal merubah landskap industri pendidikan. Ketika ini, 65 peratus daripada pekerjaan yang bakal diisi murid sekolah rendah hari ini belum wujud.

Apakah kita akan buat perubahan pada sistem pendidikan supaya anak muda di sekolah rendah mempunyai kemahiran mencukupi mengisi pekerjaan yang hanya akan wujud pada masa depan berikutan perubahan teknologi.

 

SEJAUH MANA PERBEZAAN IDEALISME BELIA BERBANDING GENERASI TERDAHULU? 

Sistem kesihatan contohnya perkara yang tidak disentuh generasi muda kerana beranggapan sentiasa sihat, justeru tidak perlu memikirkan soal persaraan.

Jadi apabila saya cabar mereka untuk memikirkan bagaimana nak kekalkan sistem kesihatan yang hampir percuma kerana diberi subsidi tinggi seiring peningkatan masyarakat lebih berumur dengan jangka hayat lebih panjang dan berbekalkan simpanan dana persaraan sangat kecil, barulah mereka memikirkan soal ini.

Berbanding generasi masa kini, mereka bincangkan perkara ini kerana ia cabaran sedang dihadapi.

Mengikut aspek geografi, pasti belia di bandar kecil inginkan pembangunan yang sama hebat. Ada infrastruktur pendidikan seperti di Sabah dan Sarawak, saya banyak dengar soal aspirasi pendidikan, mereka mahu sekolah luar bandar dan pedalaman mempunyai kemudahan sama dengan sekolah di kota.

Ia konsensus belia bahawa kita mesti teruskan tradisi kerajaan adil, memberi peluang saksama kepada semua. Semata-mata sekolah itu di luar bandar, tidak bermaksud ia dinafikan kemudahan.

Mereka juga kata, di luar bandar biarlah kekal dengan tradisi dan identiti kampung, tetapi mahu dilengkapi internet laju, bekalan elektrik tidak terputus, air bersih dan jalan raya luas. Mereka faham identiti itu perlu dikekalkan, justeru tidak perlu ‘dibandarkan’ semua. Cukup kemudahan asas sampai ke pelosok tanah air.

 

BAGAIMANA PENDEKATAN UNTUK MENGOLAH PEMIKIRAN PEMIMPIN SEDIA ADA UNTUK MENYELAMI ACUAN ORANG MUDA? 

Saya sangat terkejut dengan kesediaan belia untuk melihat jauh ke depan. Pada awal pelaksanaan, saya risau mereka hanya akan cakap soal masalah hari ini dan tidak berupaya melihat masa depan 30 tahun akan datang.

Bagaimanapun, saya kagum kerana belia hari ini bukan sekadar mampu memikirkan soal masalah hari ini, tetapi merangka persediaan untuk 30 tahun akan datang.

Ketika saya ke Sabah dan Sarawak, banyak luahan mereka mencakupi kepentingan pembangunan lestari yang bukan sekadar untuk menampung kehidupan sekarang, sebaliknya perlu jaminan dalam jangka panjang.

Secara tidak langsung, mencadangkan pembangunan yang dirintis ketika ini tidak boleh menjejaskan masa depan seperti aspek pemeliharaan alam sekitar, penggunaan elektrik, teknologi dan tenaga diperbaharui, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan anak muda.

Mereka tidak hanya memikirkan soal pembangunan secara material, tetapi meliputi kepentingan corak pembangunan yang tidak membebankan generasi akan datang.

Bagi saya, ini kejayaan sistem kita dalam mendedahkan generasi pelapis terhadap pola perubahan baharu. Mereka tidak hanya lihat pembangunan demi pembangunan material.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close