Politik

Perlukah Kebebasan Bersuara Dihadkan?

Kebebasan bersuara adalah asas kepada kewujudan demokrasi dan menghormati maruah manusia. Walaubagaimanapun, hak asasi ini merupakan antara hak yang paling berbahaya kerana kebebasan bersuara bermakna kebebasan untuk menyatakan rasa tidak puas hati seseorang dengan keadaan sedia ada dan keinginan untuk mengubahnya.

Disebabkan itu, kebebasan bersuara menjadi hak yang paling berisiko kerana jika tiada sekatan yang sewajarnya, ketenteraman awam mungkin terancam.

Untuk menjamin kesejahteraan negara, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) telah ditubuhkan pada 1998 iaitu pada ketika penggunaan media sosial masih lagi agak terhad.

Malah, hukuman sedia ada yang diperuntukkan di bawah AKM iaitu denda sebanyak RM50,000 selain penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sebenarnya dilihat masih ringan dan gagal menggerunkan individu-individu di luar sana yang tidak bertanggungjawab.

Maka setelah 20 tahun penggubalan akta tersebut, wajarlah kerajaan membuat pertimbangan untuk meminda semula AKM dengan hukuman yang setimpal dan tegas agar ianya boleh dijadikan pengajaran bahawa masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya memfitnah mana-mana pihak atau menyerang mana-mana peribadi secara sesuka hati.

Sekat penyebaran isu sensitif

Walaubagaimanapun, kebebasan bercakap dan bersuara adalah perlu diberi kawalan yang munasabah. Jikalau ia tidak dikawal selia dengan baik, maka kemungkinan akan berlakunya kekecohan dalam sesebuah negara dan masyarakat.

Dalam situasi Malaysia yang mana masyarakatnya adalah terdiri daripada agama, kaum serta bangsa yang majmuk. Maka, kerajaan perlu cermat dalam menangani hak-hak bersuara terutamanya ucapan yang melibatkan hal-hal agama dan perkauman.

Sejak kebelakangan ini, ucapan yang berunsurkan kebencian bukan sahaja terhadap kerajaan, tetapi antara kaum lain semakin meningkat. Ahli-ahli politik juga mengambil kesempatan ini dengan menggunakan taktik perkauman dan menyebarkan maklumat palsu demi memastikan mereka masih berpegang pada kuasa.

Dengan kewujudan akta sebegini yang turut mencegah perbuatan hasutan, setiap lapisan masyarakat akan lebih berhati-hati dalam menyuarakan pendapat. Penyebaran berita palsu atau fitnah juga akan dapat dikurangkan.

Selain membantu mencegah penyalahgunaan media sosial, kewujudan akta ini juga sebenarnya dapat mematangkan rakyat dalam setiap tindakan mereka. Ianya secara tidak langsung dapat mendidik rakyat untuk mengambil sikap yang lebih berhati-hati dalam mendepani segala isu yang berbangkit.

Kebebasan bersuara memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi individu-individu yang mempunyai pendapat berbeza. Apabila pendapat sesuatu golongan bercanggah, ianya adalah wajib untuk mereka dalam kelompok lain untuk menyuarakan kebenaran dengan berhemat mengikut perlindungan akta tanpa mencetuskan perbalahan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button