AntarabangsaIsu Semasa

Militan Cari Tapak Baru Sebagai ‘Pengganti’ Marawi

Seperti yang telah dijangka oleh pihak berkuasa Filipina, kumpulan militan kini sedang mencari tapak baru untuk meneruskan misi mereka bagi mewujudkan ‘khalifah’ di rantau Asia Tenggara selepas kekalahan mereka dalam menawan Bandar Marawi.

Menurut komander jawatankuasa tentera di Marawi, Kolonel Romeo Brawner, pengganas mempunyai kekuatan kira-kira 200 orang pejuang dan telah terlibat dalam beberapa siri pertempuran dengan pasukan keselamatan pada tahun ini.

“Mereka masih belum m misi untuk mewujudkan ‘khalifah’ di Asia Tenggara….Mindanao merupakan tapak yang paling subur,” kata beliau merujuk kepada wilayah selatan di Filipina.

Memetik laporan AFP, Brawner menegaskan bahawa Mindanao, sebuah wilayah yang dilanda kemiskinan tegar, perlu meningkatkan lagi pengawasan di sekolah-sekolah agama atau madrasah, memandangkan ramai orang muda direkrut untuk menjadi anggota bersenjata militan.

Kini, pihak tentera sedang membuat persediaan untuk ‘bersemuka’ semula dengan kumpulan Maute (dalang disebalik penaklukan Marawi) yang telah bersumpah taat setia terhadap militan IS.

Namun ujar beliau, pejuang-pejuang yang berjaya melarikan diri dari Marawi sedang mengetuai operasi merekrut anggota baru.

Memetik laporan AFP, mereka juga dilengkapi dengan wang, senjata, dan barang kemas yang banyak, dirompak di bank-bank serta kediaman peribadi penduduk ketika berada di bandar berkenaan.

Ujar Brawner, kebanyakan anggota militan terdiri daripada warga tempatan, namun terdapat juga beberapa rakyat Indonesia, di mana segelintir daripada mereka mempunyai kemahiran untuk mencipta bom.

Selepas Marawi berjaya dibebaskan pada bulan Oktober tahun lepas, anggota-anggota bersenjata Maute telah membunuh tiga orang peniaga di bandar Piagapo (berdekatan Marawi), sebulan selepas itu.

Dalam pada itu, tentera turut melaporkan pertempuran dengan puak Maute di beberapa bandar seperti Masiu dan Pagayawan pada bulan lepas.

Insiden terkini pula berlaku pada 8 Februari baru-baru ini di sebuah lagi bandar berdekatan bernama Pantar, yang menyaksikan tiga anggota militan terbunuh.

Sepanjang pertempuran di Marawi, lebih daripada 1,100 nyawa telah terkorban, dan Presiden Rodrigo Duterte juga terus menguatkuasakan undang-undang tentera di seluruh Mindanao sehingga hujung tahun ini dalam usaha membanteras ancaman militan.

Show More

Related Articles

Back to top button