Gaya HidupKesihatan

Kehamilan Ektopik Boleh Membawa Maut

Di dalam Bahasa Inggeris, kehamilan di luar rahim digelar ectopic pregnancy. Perkataan ectopic bermaksud ‘di tempat yang salah’. Sama seperti namanya, kehamilan ektopik bermaksud kehamilan yang membesar di luar rahim ibu.

Kehamilan ektopik tidak boleh berjalan seperti biasa. Hal ini berikutan telur yang disenyawakan tidak berupaya untuk hidup malah tisu yang tumbuh berkemungkinan merosakkan struktur dalaman tubuh si ibu.

Perbandingan kehamilan normal (kiri) dan kehamilan ektopik (kanan)

Menurut laman Medicine Net, kehamilan ektopik biasa berlaku di tiub fallopian, kejadian ini boleh menyebabkan tiub fallopian pecah. Jika kejadian ini berlaku, pesakit mungkin mengalami pendarahan yang teruk diikuti dengan rasa sakit yang teramat sangat.

 Jika keadaan ini tidak dirawat pendarahan yang berlaku boleh meragut nyawa si ibu.

Tiga gejala kehamilan ektopik adalah

  • sakit pada bahagian abdomen
  • tidak datang haid
  • pendarahan dari faraj.

Walau bagaimanapun, dianggarkan hanya 50% wanita akan menunjukkan ketiga-tiga gejala di atas. Gejala yang lain termasuklah :

  • Rasa mual dan muntah-muntah disertai dengan rasa sakit
  • Kekejangan perut yang teruk
  • Sakit pada salah satu sisi tubuh
  • Berasa pening atau lemah-lemah
  • Rasa sakit pada bahu, leher, atau dubur

Tulis laman sesawang MayoClinic, dianggarkan 20 bagi setiap 1,000 kehamilan adalah kehamilan ektopik. Antara faktor-faktor yang menyebabkan kehamilan ektopik adalah

  • Pernah mengalami kehamilan ektopik. Risiko untuk individu menghidap kehamilan ektopik, adalah lebih tinggi jika pesakit pernah mengalaminya sebelum ini.
  • Keradangan atau jangkitan. Tiub fallopian yang radang (salpingitis) atau jangkitan pada rahim, tiub fallopian atau ovari (penyakit keradangan pelvik) boleh meningkatkan risiko berlakunya kehamilan ektopik. Jangkitan ini selalunya disebabkan oleh gonorrhea atau chlamydia.
  • Masalah kesuburan. Sesetengah kajian menunjukkan kesukaran untuk hamil dan penggunaan ubat kesuburan mempengaruhi kejadian kehamilan ektopik.
  • Keganjilan pada struktur peranakan. Kemungkinan untuk kehamilan ektopik berlaku adalah lebih tinggi jika terdapat keganjilan pada tiub fallopian. Ia juga mungkin mengalami kerosakan disebabkan pembedahan.

Malah pembedahan untuk membaiki tiub fallopian juga boleh meningkatkan risiko berlakunya kehamilan ektopik.

  • Penggunaan kaedah pencegah kehamilan. Walaupun jarang berlaku kehamilan terhadap mereka yang menggunakan alat intrauterin (IUD), jika mereka hamil, berkemungkinan besar kehamilan tersebut adalah kehamilan ektopik.

Begitu juga untuk kehamilan bagi individu yang telah menjalani pembedahan ligasi tiub. Ia adalah satu kaedah kawalan kelahiran di mana tiub fallopian diikat. Sama seperti keadaan di atas, jika individu tersebut berjaya hamil kemungkinan besar ia adalah kehamilan ektopik.

  • Merokok. Merokok sebelum kehamilan boleh meningkatkan risiko terjadinya kehamilan ektopik. Semakin kerap individu itu merokok, semakin tinggi risiko berlakunya kehamilan ektopik.

Terdapat beberapa cara untuk merawat kehamilan ektopik. Dua cara utama adalah penggunaan ubat dan pembedahan.

Penggunaan ubat. Sekiranya tiub fallopian belum pecah serta kehamilan baru bermula, pesakit akan diberi suntikan methotrexate. Ia akan menghentikan pertumbuhan sel janin dan janin tersebut akan diserap tubuh. Kebanyakan kehamilan seperti ini boleh dirawat dengan methotrexate jika ia dikesan pada peringkat awal.

Namun, jika kehamilan tersebut telah lanjut, pembedahan laparoskopi diperlukan. Doktor akan melakukan potongan kecil di bahagian bawah abdomen dan memasukkan alatan yang nipis (laparoskopi) dan fleksibel untuk membuang kehamilan ektopik. Doktor juga mungkin perlu mengeluarkan tiub fallopian yang rosak.

Jika pendarahan yang dialami pesakit keterlaluan atau tiub fallopian disyaki pecah, pesakit mungkin memerlukan pembedahan kecemasan dengan potongan yang lebih besar. Prosedur ini digelar laparotomy.

Walaupun terdapat sesetengah kes dimana bayi kelahiran ektopik berjaya dilahirkan menerusi pembedahan caesarian, kejadian ini sangat jarang berlaku. Hal ini ekoran, kemungkinan kehamilan ektopik berjaya sehingga kelahiran adalah sangat kecil, malah terdapat risiko kesihatan yang sangat besar kepada si ibu, sehinggakan tidak digalakkan untuk mereka meneruskan kehamilan ektopik.

KEHAMILAN NORMAL SELEPAS KEHAMILAN EKTOPIK

Tidak mustahil bagi mereka yang pernah mengalami kehamilan ektopik untuk hamil secara normal, namun mereka mungkin akan berhadapan kesukaran untuk berbuat demikian.

Individu tersebut mungkin boleh berbincang dengan pakar kesuburan, terutamanya jika salah satu tiub fallopian telah dibuang.

Sesetengah doktor mencadangkan sekurang-kurangnya menunggu 3 hingga 6 bulan sebelum mencuba untuk hamil lagi.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close