Isu SemasaPolitikTempatan

Pengundi Muda Penentu Keputusan PRU14

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang tidak lama lagi bakal menyaksikan penglibatan 5 juta pengundi muda yang akan keluar mengundi buat pertama kali.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), angka tersebut merangkumi 34% daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia.

Memetik laporan NST, kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah boleh meramal ‘arah tuju’ pengundi-pengundi veteran dari segi pemilihan politik mereka.

Tetapi, kecenderungan politik belia-belia ini masih menjadi tanda tanya, dan mereka juga adalah golongan utama yang akan menentukan nasib setiap parti PRU14 nanti.

Sokongan padu golongan muda

Sebagai contoh, Barack Obama memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2008 sekali gus menjadi presiden berkulit hitam yang pertama di dalam sejarah negara itu.

Apakah penyumbang utama kemenangan beliau? Jawapannya adalah sokongan padu daripada golongan muda.

Difahamkan, strategi kempen beliau menyasarkan belia-belia di negara itu dan ia terbukti berjaya apabila Obama meraih undian lebih daripada 12 juta pengundi muda.

Pengundi muda Malaysia?

Jadi, apakah yang akan mempengaruhi keputusan belia di Malaysia dalam PRU14 nanti? Adakah pemilihan mereka akan dilakukan berdasarkan latar belakang politik keluarga, pengaruh rakan sebaya, atau media sosial?

Persoalan ini akan terjawab selepas selesai mengundi nanti, tetapi jika kita lihat, kebanyakan belia pada zaman ini mahukan kerajaan yang boleh mencorak masa depan negara dengan baik.

Ini termasuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk graduan-graduan baru dan serta rumah mampu milik yang bukan sekadar ‘mampu tengok.’

Struktur perancangan

Jika hendak dibandingkan BN dan PH, kerajaan dilihat mempunyai struktur perancangan yang lebih kukuh dan realistik berbanding pembangkang.

Tidak dinafikan bahawa pembangkang menawarkan pelbagai perubahan yang akan merealisasikan segala keperluan dan kehendak belia.

Antara yang popular adalah pendidikan percuma, pemansuhan tol, siaran percuma perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan lain-lain.

Tetapi, adakah mereka benar-benar mampu mengotakan segala janji tersebut? Atau ia hanya sekadar ‘janji manis’ politik untuk meraih sokongan? Kita tunggu dan lihat.

Menunaikan tanggungjawab

Akhir sekali, golongan muda perlu sentiasa beringat bahawa kunci utama untuk melakukan perubahan adalah dengan menunaikan tanggungjawab anda untuk mengundi.

Buang undi anda mengikut pemikiran rasional, bukan perasaan semata-mata.

Tidak kira apa pun kecenderungan politik anda, undilah parti/calon di kawasan anda yang ‘turun padang’ secara aktif dalam menjaga kebajikan dan menyelesaikan masalah rakyat dengan baik.

Show More

Related Articles

Back to top button