AntarabangsaIsu Semasa

Kuasa Dunia ‘Pekak Dan Buta’ Dalam Isu Syria

Perang saudara di Syria kini mencatatkan tahun yang ketujuh, namun masih tiada sebarang petanda yang menunjukkan bahawa konflik ini semakin pulih.

Serangan bom di Ghouta

Malah, keadaan sebenarnya menjadi lebih keruh susulan serangan bom bertalu-talu di Ghouta sejak minggu lepas yang telah meragut kira-kira 500 nyawa orang awam, termasuk 121 kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Pesawat tempur mengebom bangunan-bangunan kami. Selamatkan Ghouta,”¬† rayu dua orang adik beradik¬† perempuan bernama Noor dan Alaa (mangsa kekejaman), menerusi sebuah video yang tular di media sosial

Di sebuah klinik pula, seorang wanita kelihatan sudah hilang harapan, di mana dia lebih rela melihat anak lelakinya ‘pergi’ daripada terus hidup dalam keadaan terseksa.

“Saya sedang menunggu bayi lelaki saya untuk mati. Sekurang-kurangnya ada makanan di Syurga (berbanding dunia),” kata ibu tersebut.

Walau bagaimanapun, kuasa-kuasa besar di dunia dilihat ibarat sedang ‘membutakan mata dan memekakkan telinga’.

Pembunuhan beramai-ramai

Menurut Mushtak Parker, seorang penulis dan ahli ekonomi yang berpangkalan di London, tragedi ini secara jelas adalah pembunuhan beramai-ramai dan pada kebiasaannya, pesalah-pesalah dalam konflik-konflik lain akan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sekali gus menerima hukuman yang sepatutnya di atas kesalahan yang dilakukan.

Pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan hak asasi manusia dan aktivis telah berusaha bertungkus lumus untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa perang setakat yang mampu.

PBB

Namun, negara-negara dan pertubuhan-pertubuhan gergasi dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mempunyai kuasa dan kemampuan besar untuk menyelesaikan masalah ini, tidak memainkan peranan mereka dengan cukup baik.

Parker berkata, tidak dinafikan bahawa PBB telah mempamerkan ‘prestasi yang cemerlang’ dalam mengendalikan isu bencana alam dan hak asasi manusia, tetapi masih terdapat banyak kekurangan dalam konflik menangani konflik perang.

Sepanjang konflik Syria ini, kira-kira 6.1 juta rakyat negara itu telah kehilangan tempat tinggal, 5.5 juta menjadi pelarian, dan 13.1 juta masih memerlukan bantuan.

Mangsa-mangsa yang telah meninggal dunia pula mencatatkan ratusan ribu orang.

Amerika Syarikat

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS), di bawah pimpinan presiden Donald Trump pula tidak menunjukkan rasa belas kasihan, termasuk dari aspek dasar dan politik, lebih-lebih lagi apabila jutawan berkontroversi itu hanya memberi tumpuan penuh terhadap dasar ‘America First’.

Malah pada tahun lepas, Trump turut mengenakan larangan imigresen terhadap 7 buah negara Islam utama dengan alasan untuk ‘menghalang kemasukan pengganas dari luar ke dalam AS.’

Dalam pada itu, Parker menegaskan bahawa Trump perlu mendengar nasihat salah seorang pendahulunya, Abraham Lincoln, yang berkata: “(Tindakan) berdiam diri, sedangkan mereka patut lawan, menghasilkan orang-orang yang pengecut.”

Eropah

Ujarnya lagi, kuasa-kuasa Eropah juga sama seperti AS, kecuali canselor Jerman, Angela Merkel, yang membenarkan jutaan pelarian Syria untuk masuk ke negara itu.

Walaupun tindakan itu mencetuskan kemarahan musuh-musuh politiknya dan hampir ‘menggadai’ kedudukannya sebagai pemimpin, Merkel masih melakukannya dengan hati yang terbuka atas dasar kemanusiaan.

Tambah Parker, sudah tiba masanya untuk kita mewujudkan sebuah badan antarabangsa (sebagai pengganti PBB) yang lebih sesuai dengan keadaan semasa politik, ekonomi, kesamarataan, dan cabaran abat ke-21 ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker