FesyenGaya Hidup

Songket Bernard Chandran Pikat Kate Middleton

Sekiranya anda seorang fashionista tegar, nama Dato’ Sri Bernard Chandran pasti bukan lagi asing bagi anda. Bagi mereka yang tidak biasa dengan industri fesyen tempatan, Bernard Chandran adalah pereka fesyen terkenal dari Malaysia yang berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa.

Digelar sebagai ‘Raja Fesyen’ Malaysia, pakaian rekaannya telah digayakan oleh beberapa personaliti terkenal, daripada golongan bangsawan Malaysia sehingga keluarga diraja dan turut digayakan oleh bintang pop dari Amerika, Lady Gaga.

Baru-baru ini, Bernard Chandran yang rekaan ekslusifnya dihargai oleh pelanggan antarabangsa termasuk kerabat diraja Brunei, kini turut menambahkan kerabat diraja Britain dalam kalangan mereka yang terpesona dengan karyanya. Kerabat diraja itu adalah Kate Middleton, Duchess of Cambridge, yang dikagumi sebagai ikon fesyen di seluruh dunia.

Rekaaan yang dipersembahkan terdiri daripada pakaian bustier beserta mantel labuh yang dihasilkan daripada songket.

Pada minggu lalu, pereka itu mempersembahkan hasil rekaannya kepada isteri Prince William yang berusia 36 tahun di Istana Buckingham di London, bersama dengan pereka terkenal lain termasuk Stella McCartney (mewakili United Kingdom), di majlis penerimaan Komanwel Fesyen (CFE).

Menurut The Star, Bernard adalah wakil tunggal dari Malaysia yang menyertai acara berprestij itu.

Bernard yang berusia 50 tahun, memuat naik sekeping gambar di Instagram ketika bercakap dengan Kate. Kegembiraannya jelas tergambar melalui kapsyen: She wants to know more (Dia ingin tahu lebih banyak), yang ditulis dalam huruf besar.

Dalam temu bual dengan Buro 24/7 Malaysia sebelum acara itu, Bernard berkata beliau teruja untuk mempamerkan rekaan yang menggabungkan elemen-elemen tradisi dan budaya Malaysia dalam gaya moden.

“Saya telah bereksperimen dengan pelbagai tekstur dan bahan termasuk songket iaitu tekstil brokat tradisional Malaysia yang biasanya ditenun tangan, dengan corak yang rumit daripada benang emas atau perak dan digemari oleh kerabat diraja,” katanya.

Beliau berharap supaya dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda untuk berbangga dengan budaya sendiri dan cuba untuk mengembangkannya kerana tradisi yang dianggap biasa dan membosankan kepada sesetengah orang boleh diberi sentuhan moden yang bersifat antarabangsa.

CFE adalah satu projek yang bertujuan untuk meraikan kedua-dua bakat pereka fesyen dan seni yang berpotensi di 53 buah negara. Dari Buckingham Palace, hasil rekaan untuk CFE akan berpindah ke lokasi lain di sekitar London untuk tontonan awam dan diakhiri dengan Sidang Kemuncak Kerajaan Komanwel pada bulan April depan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button