AntarabangsaIsu Semasa

Taiwan Bersedia Untuk ‘Berperang’, Tetapi Dengan Siapa?

Pasukan tentera Taiwan telah melaksanakan latihan ketenteraan secara langsung yang mensimulasikan tindak balas sekiranya berlaku ‘pencerobohan’.

Memetik laporan AFP, tentera negara itu telah menghantar pesawat peninjau untuk memantau (secara simulasi) kedatangan kapal-kapal perang, dan menembak “musuh” yang mendarat di pelabuhan timur Hualien menggunakan kereta kebal, dan juga jet pejuang F-16.

Namun begitu, siapakah “musuh” yang dimaksudkan di dalam konteks ini?

Walaupun kerajaan Taiwan tidak mendedahkan secara terperinci, ia dilihat secara jelas bahawa ia sedang bersiap sedia untuk menangani sebarang ancaman China, susulan keadaan yang semakin tegang di antara kedua-dua negara tersebut.

Tujuan latihan simulasi ketenteraan itu diadakan adalah untuk menunjuk semangat perjuangan mereka demi mempertahankan keamanan di Selat Taiwan, dan melindungi keselamatan negara.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan ketenteraan negara tersebut.

Dalam pada itu, China juga menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya menerusi dasar “Satu China”.

Beijing kini sedang ‘menunggu masa’ untuk meletakkan Taipei di bawah naungannya, dan mereka mungkin akan menggunakan kekerasan sekiranya untuk mencapai matlamat itu, jika perlu.

Difahamkan, keadaan telah mula menjadi tegang sejak pelantikan Tsai sebagai pemimpin, apabila beliau enggan mengiktiraf Taiwan sebagai sebahagian daripada “Satu China.”

Terkini, ketegangan dilihat bertambah buruk apabila China mula mewujudkan laluan udara baru di Selat Taiwan tanpa mengadakan sebarang perbincangan/pertemuan terlebih dahulu.

Tsai berkata langkah itu bukan hanya memberi kesan serius kepada keselamatan penerbangan, tetapi juga merosakkan keadaan semasa di Selat Taiwan.

“Peralihan keadaan seperti ini, amalan yang merosakkan kestabilan serantau, bukan sesuatu yang akan dilihat dengan baik oleh masyarakat antarabangsa,”

Langkah Beijing itu juga disifatkan sebagai “rakus dan bermotifkan politik”, dan Kementerian Pertahanan Taiwan turut mengancam untuk memintas, memberi amaran dan mengusir (jika perlu), sebarang pesawat yang melintasi ruang udara mereka.

Sebagai langkah tindak balas, Taiwan telah menyekat 176 penerbangan untuk beroperasi di antara Taiwan dan China, yang melibatkan dua syarikat penerbangan ketika Tahun Baru Cina iaitu Chiuna Eastern Airlines dan Xiamen Air.

Situasi tersebut ternyata menjejaskan puluhan ribu penumpang Taiwan yang bekerja di China yang ingin pulang ke tanah air untuk meraikan perayaan itu bersama keluarga dan sanak saudara.

Oleh itu, kedua-dua syarikat penerbangan tersebut pula mengkritik keputusan Taipei yang dianggap sebagai “tidak masuk akal” memandangkan ramai ahli-ahli perniagaan dan pelajar yang terjejas.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker