Isu SemasaTempatan

50.3% Hutang Isi Rumah Negara Adalah Pinjaman Perumahan

Daripada jumlah keseluruhan hutang isi rumah, 50.3% merupakan pinjaman perumahan, diikuti pinjaman kenderaan (14.6%), pembiayaan peribadi (14.9%), pembelian harta bukan kediaman (7.4%), keselamatan (5.7%), kad kredit (3.5%) dan barang-barang lain (3.6%).

Menurut laporan terkini Perkembangan Risiko dan Penilaian Kestabilan Kewangan oleh Bank Negara, hutang isi rumah Malaysia mencatatkan RM 1.086 trilion atau 88.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada hujung tahun 2016.

Pengurusan kewangan

Pengurusan kewangan yang baik merupakan salah satu perkara yang paling penting dalam membuat sebarang perancangan dalam kehidupan.

Selain daripada merancang masa depan, kita juga perlu menyemak semula dan memastikan hutang-hutang semasa diuruskan dengan lancar.

Jika kita lihat, pinjaman perumahan merupakan hutang isi rumah yang tertinggi berbanding yang lain.

Walau bagaimanapun, laporan Institut Global McKinsey (MGI) pada tahun 2015 menyatakan bahawa secara purata, pinjaman perumahan merangkumi 74% daripada hutang isi rumah keseluruhan di negara-negara maju.

Oleh itu, Datuk Alan Tong, pengerusi kumpulan Bukit Kiara Properties (BKP), menerusi penulisannya di The Star berjudul “Restructuring Our Household Debt” berkata, nisbah pinjaman perumahan sebanyak 50.3% di negara membangun seperti Malaysia masih dikira rendah berbanding negara-negara maju yang mencatatkan 74%.

Rakyat berbelanja terlalu banyak

Ujar beliau, hal ini menunjukkan bahawa rakyat di negara kita berbelanja terlalu banyak ke atas barang-barang yang menyusut dengan pantas, seperti pinjaman kredit kad, pinjaman kenderaan, dan juga pinjaman peribadi, berbanding aset-aset di mana nilainya akan terus meningkat dalam jangka masa panjang seperti hartanah/perumahan.

Difahamkan, nilai harga kenderaan akan menyusut kira-kira 10% sehingga 20% setiap tahun berdasarkan pengiraan insurans, piawaian perakaunan serta harga pasaran sebenar.

Kad Kredit

Akses mudah untuk memohon kad kredit dan pinjaman peribadi pula secara tidak langsung akan ‘mendorong’ orang ramai untuk berbelanja secara berlebihan, terutamanya apabila kad kredit tersebut tidak mempunyai had maksimum bagi individu yang meraih pendapatan tahunan lebih daripada RM 36,000.

Perkara ini amat membimbangkan memandangkan ramai belia yang berusia di antara 25 dan 44 tahun telah jatuh muflis.

Empat punca utama berlakunya bankrupsi ini adalah pinjaman kenderaan (26.63%), pinjaman peribadi (25.48%), pinjaman perumahan (16.87%) dan pinjaman perniagaan (10.24%).

Sementara itu, negara-negara yang maju dari segi ekonomi pula hanya mempunyai 26% hutang dalam pinjaman bukan kediaman sementara Malaysia pula mempunyai 49.7%.

Untuk mencatatkan nisbah hutang isi rumah yang serupa seperti negara ekonomi maju, pinjaman perumahan bernilai RM 546.3 bilion perlu merangkumi 74% daripada hutang isi rumah keseluruhan.

Alan berkata, jumlah hutang isi rumah semasa, iaitu RM 1.086 trilion perlu dikurangkan kepada RM 738 bilion.

Pinjaman-pinjaman bukan kediaman seperti kenderaan, kad kredit dan sebagainya, juga perlu dikurangkan daripada 49.7% kepada hanya 26%

Ini bermakna, hutang bukan kediaman negara perlu diturunkan kepada RM 192 bilion daripada jumlah semasa sebanyak RM 192 bilion.

Pengurangan ini juga akan mendatangkan manfaat besar, di mana ia boleh membawa Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara utama di dunia yang sihat dari segi kewangan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button