Gaya HidupKesihatan

Murung Itu Gila?

Kajian menunjukkan bahawa kira-kira 8% hingga 12% keseluruhan penduduk mengalami kemurungan, kata Prof Madya Dr. Muhammad Muhsin Muhammad Zahari, seorang Profesor Psikologi Perubatan  dari Universiti Malaya.

Walaupun ‘kemurungan’ sering dikaitkan dengan rasa sedih, namun beliau menegaskan terdapat perbezaan yang jelas antara perasaan sedih dan masalah kesihatan mental ini.

Terang Prof Madya Dr. Muhsin, walaupun adalah perkara biasa bagi ramai orang untuk mengalami situasi ‘mood’ yang tidak baik (seperti berasa sedih), namun bagi sesetengah orang, ia merupakan tanda bagi masalah yang lebih serius.

Menurut akhbar The Star masalah ini digelar oleh ahli psikologi sebagai ‘depression disorder’.

Prof Madya Dr. Muhammad Hussin

Jika perasaan putus asa dan kemurungan ini  berterusan untuk lebih daripada beberapa hari, individu tersebut mungkin mengalami ‘clinical depression’.

“Kemurungan jenis ini akan menjejaskan gaya kehidupan seharian seseorang. Contohnya mengalami masalah pergaulan serta sukar melakukan aktiviti harian,” katanya.

Keadaan lain di mana seseorang menghidap ‘functional depression’ pula adalah sebuah keadaan di mana seseorang mempunyai kemurungan, namun mereka masih boleh bekerja dan bergaul dengan orang lain.

Mereka yang menghidap keadaan ini mungkin kelihatan biasa sahaja sama seperti individu normal lain  namun dia mungkin sedang bergelut dengan kemurungan tanpa disedari sesiapa pun.

Terangya lagi, kemurungan yang lebih teruk boleh menyebabkan seseorang cenderung untuk membunuh diri dan memikirkan bahawa kehidupan ini tiada tujuan.

IMPAK KEMURUNGAN TERHADAP KESIHATAN

Menurut Prof Madya Dr. Muhsin, kemurungan bukan setakat boleh mempengaruhi kesihatan emosi dan mental seseorang malah ia boleh mempengaruhi keadaan fizikal individu

“Antara gejala lain yang datang bersama kemurungan adalah sukar tidur, tidak berselera untuk makan serta keletihan yang teramat sangat.

“Mereka juga mungkin menghadapi kesukaran untuk menumpukan perhatian, mengalami kembung perut, sakit belakang, kebas pada jari jemari serta mengalami sakit kepala yang teruk.”

Tegas beliau, genetik dan kandungan neurokimia di dalam otak individu memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada seseorang itu cenderung menghidap kemurungan.

“Dipercayai bahawa seseorang yang mempunyai tahap serotonin yang rendah mudah terdedah kepada kemurungan, terutamanya apabila mereka berhadapan dengan keadaan yang sukar atau traumatik.

“Selain itu, sejarah keluarga pesakit adalah sangat penting dalam menilai keadaan kesihatan mental seseorang.

“Kami mendapati pesakit yang cuba membunuh diri disebabkan kemurungan mungkin ada ahli keluarga mereka yang cenderung membunuh diri juga,” katanya.

Selain faktor genetik, faktor persekitaran juga boleh mencetuskan penyakit mental tersebut.

“Selalunya, kemurungan bukan hanya disebabkan satu perkara.

“Individu yang cenderung menghidap kemurungan namun tinggal dalam persekitaran yang kondusif serta mempunyai sistem sokongan yang baik, mungkin tidak akan mengalami gangguan kemurungan.

Jadi beliau menegaskan bahawa rawatan dan pengurusan yang paling berkesan bagi kemurungan adalah apabila ia dilakukan secara holistik.

Aspek fizikal, mental dan emosi yang disebabkan oleh kemurungan mestilah ditangani dengan baik.

“Biasanya pesakit mula dirawat dengan sesi kaunseling; di mana mereka akan bercakap tentang masalah mereka. Kami juga menjalankan terapi tingkah laku kognitif (CBT), yang telah terbukti berkesan merawat kemurungan.

“Mereka yang mempunyai kemurungan pada tahap yang lebih serius haruslah mengambil ubat-ubatan seperti ubat antikemurungan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Prof Madya Dr. Muhsin berkata penggunaan ubat sahaja tidak berkesan dalam memerangi penyakit itu.

“Ubat-ubatan tidak boleh melakukan keajaiban, ia tidak boleh menjadi penawar bagi kemurungan yang dicetuskan oleh faktor-faktor persekitaran.

“Pesakit masih perlu menangani dan membincangkan masalah yang dihidapi mereka.

“Terdapat kajian yang menunjukkan gabungan kedua-dua terapi dan ubat boleh membantu pesakit merawat kemurungan,” katanya.

KEPENTINGAN PENGESANAN AWAL  DALAM MERAWAT KEMURUNGAN

Tambah beliau lagi kemurungan boleh diubati jika ia didiagnosis dan dirawat lebih awal.

“Adalah lebih bagus jika pesakit dibawa ke fasiliti penjagaan kesihatan pada peringkat awal penyakit.

“Bagaimanapun, jika ia tidak dirawat, isu yang menjadi punca bagi kemurungan tersebut tidak akan dapat ditangani dengan betul, seterusnya menjadikan kemurungan yang dihidapi lebih kronik dan lebih sukar untuk dirawat di masa hadapan,” katanya.

TAKUT DIGELAR ‘GILA’

Mentaliti orang ramai tentang perkara ini merupakan antara cabaran yang menghalang pesakit  mencari bantuan profesional.

“Terdapat salah anggapan bahawa penghidap kemurungan tidak cukup kuat untuk melawan penyakitnya.

“Oleh itu, pesakit lebih suka menguruskan penyakit mereka sendiri daripada bertemu dengan doktor atau ahli psikologi klinikal.

“Sebenarnya mereka takut digelar ‘gila’ oleh masyarakat” tegas beliau.

Prof Madya Dr. Muhsin menggalakkan mereka yang mengalami kemurungan untuk mendapatkan bantuan daripada kaunselor yang berkelayakan, ahli psikologi klinikal atau pakar psikiatri, serta membincangkan masalah mereka dengan sahabat atau saudara mara yang memahami serta tidak akan menghakimi mereka.

“Adalah penting untuk meluahkan perasaan kepada seseorang, namun begitu anda perlu mencari orang yang sesuai, hal ini kerana bukan semua orang pendengar masalah yang baik,” katanya.

Bagi mereka yang mempunyai insan tersayang yang berhadapan dengan kemurungan, beliau meminta mereka untuk menjadi pendengar yang baik serta tidak menghakimi pesakit tersebut.

Tegasnya “anda perlu memahami punca dan keadaan yang menyebabkan kemurungan dari perspektif pesakit.

“Mungkin sesuatu yang dikatakan oleh pesakit nampak kecil dan tidak penting bagi kita, namun bagi mereka yang sedang menghidapi kemurungan, mereka mempunyai pandangan yang berbeza tentang apa yang sedang dialami.

 “Adalah tidak mungkin untuk membandingkan masalah seseorang dengan masalah orang lain,” terangya.

Show More

Related Articles

Back to top button