Isu SemasaPolitikTempatan

Rugi Besar Jika Tidak Mengundi

Permainan ‘teka-teki’ mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh dikatakan sudah terjawab secara kiasan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan PRU14 dijangka akan diadakan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Kita ada tiga raya, raya Cina baru lepas, kita ada raya haji, sebelum raya haji kita ada raya puasa tapi sebelum raya puasa kita ada satu lagi raya besar,” katanya.

Oleh itu, penganalisis politik berpandangan bahawa Perdana Menteri kemungkinan besar akan membubarkan Parlimen seminggu selepas Chap Goh Meh pada 2 Mac tidak lama lagi, sekali gus membuka ruang untuk PRU14 diadakan pada hujung bulan Mac atau April.

Menurut Profesor Dr Jeniri Amir daripada Universiti Malaya Sarawak, Parlimen perlu dibubarkan pada bulan depan (Mac) kerana PRU tidak boleh dilaksanakan pada bulan Mei memandangkan ia adalah bulan Ramadhan.

“Bulan depan akan menjadi waktu yang paling sesuai untuk membubarkan Parlimen dan pada masa yang sama, PRU perlu diadakan sebelum Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dibebaskan dari penjara,” ujar beliau.

Pembebasan Anwar dari penjara dijangka akan mendatangkan risiko yang lebih tinggi kepada Barisan Nasional.

Walaupun demam pilihan raya semakin hangat dirasai, bilangan individu yang masih belum berdaftar sebagai pengundi masih mencatatkan angka yang tinggi.

PRU tidak akan mendatangkan sebarang makna jika ia tidak disertai secara proaktif oleh setiap rakyat yang sudah berkelayakan.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada bulan September 2017, kira-kira 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak masih tidak mendaftar, di mana 2/3 daripada jumlah itu adalah belia berusia di antara 21 hingga 30 tahun.

Bukan itu sahaja, malah lebih membimbangkan lagi, terdapat sesetengah pihak yang terdiri daripada segelintir golongan muda, ingin memboikot PRU14 menerusi kempen #UndiRosak kerana sudah “hilang kepercayaan” dan keyakinan terhadap kedua-dua kerajaan serta pembangkang.

Harus ingat bahawa belia memainkan peranan yang amat penting dalam PRU14 sekali gus menentukan hala tuju negara pada masa akan datang.

Oleh itu, golongan muda perlu menyertai dan merasai sendiri proses demokratik di negara kita kerana setiap undian itu boleh membawa perubahan yang amat besar bukan sahaja kepada parti atau calon yang dipilih, tetapi juga kepada negara secara keseluruhan.

Mengundi juga bermaksud anda mengamalkan hak anda untuk bersuara, dan sekiranya tidak mengundi, ia bermakna anda menafikan/menolak ‘keistimewaan’ itu.

Tidak kira sesiapa pun calon atau parti yang anda sokong, gunakan hak anda sepenuhnya untuk melihat perubahan yang anda inginkan.

Kemudian, selepas selesai mengundi, ia tidak bermakna anda perlu ‘duduk diam’ dan menunggu sehingga kedatangan pilihan raya seterusnya.

Pastikan anda mengenali siapa Ahli Parlimen/Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan anda dan cuba mendekati mereka.

Suarakan sebarang cadangan atau pandangan dengan aktif untuk memastikan wakil rakyat dapat melaksanakan tanggungjawabnya dan menangani sebarang masalah atau isu dengan lancar.

Ini juga penting untuk menilai sama ada seseorang wakil rakyat itu benar-benar melaksanakan amanah dan tugas mereka sepanjang tempoh mandat atau hanya ‘turun padang’ ketika pilihan raya sudah dekat.

Akhir sekali, sentiasa beringat bahawa kunci utama untuk melakukan perubahan adalah dengan menunaikan tanggungjawab anda untuk mengundi.

Undilah parti/calon yang berwibawa dan mempunyai rancangan kukuh untuk pembangunan negara, ekonomi dan kesejahteraan rakyat, bukan pihak yang menggunakan retorik dan sentimen kosong semata-mata.

Kuasa mengundi terletak dalam tangan rakyat, khususnya belia yang merupakan pelapis negara pada masa akan datang.

Ia adalah sesuatu yang amat merugikan jika anda tidak menggunakan ‘kuasa’ anda sepenuhnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker