Isu SemasaTempatan

Apa Itu Akta Perlakuan Anti Sosial?

Mat rempit yang terjebak dalam perlumbaan haram bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah orang-orang di persekitaran mereka.

Walaupun pelbagai pihak telah menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap mat rempit sejak beberapa tahun lalu, namun masih tiada tindakan efektif yang dilakukan untuk menghentikannya.

Menurut The Star, isu ini juga baru-baru ini diketengahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di mana beliau menyuarakan kemarahannya terhadap sekumpulan mat rempit kerana menggunakan sebatang jalan raya di hadapan Hospital Sultanah Aminah sebagai tempat perlumbaan haram.

Akta Perlakuan Anti Sosial membolehkan pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap kanak-kanak bawah umur sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing. Ketika ini tiada undang-undang yang boleh diambil polis untuk berbuat demikian.

Akta Perlakuan Anti Sosial di negara barat

Definisi perlakuan anti sosial adalah kelakuan yang menyebabkan ‘distress’ kepada masyarakat umum.

Akta ini telah dilaksanakan di England dan Wales pada tahun 2003 bagi memastikan pihak polis, pihak berkuasa tempatan, atau tuan tanah memiliki kuasa yang berpatutan untuk mengendali kelakuan anti sosial yang serius.

Menurut The Guardian, di bawah akta ini polis boleh menyuraikan kumpulan yang disyaki boleh menggugat ketenteraman awam. Jika mereka enggan bersurai, ia boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah.

Pihak polis juga boleh mengarah kanak-kanak di bawah umur 16 tahun untuk pulang ke rumah selepas 9 malam.

Denda on-the-spot juga boleh dikenakan jika mereka didapati melakukan grafiti, berbuat bising, atau ponteng sekolah.

Mana-mana tempat kediaman yang digunakan sebagai tempat penagihan dadah boleh diarah tutup.

Statistik berkenaan mat rempit

Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sebanyak 764 tangkapan telah dilakukan menerusi 2,795 operasi untuk membanteras perlumbaan haram yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dalam tempoh Januari hingga September 2017.

Daripada jumlah itu, kebanyakkannya berusia 25 tahun ke bawah.

Mengkaji pendekatan yang sesuai

Sejak kebelakangan ini terdapat kemunculan beberapa ‘mat lajak’ yang cuba meniru aksi berbahaya menggunakan basikal yang telah diubah suai.

Pengaruh mat rempit dan gejala baharu ini mungkin akan berterusan jika tiada undang-undang dilaksanakan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pertama kali mencadangkan pelaksanaan Akta Perlakuan Anti Sosial pada awal tahun lepas bagi membendung gejala sosial di negara ini.

Menurut KDN, mereka sedang mengkaji pendekatan yang sesuai.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker