Bisnes & Ekonomi

Di Sebalik Kejayaan Ikon Teh Popular Vietnam

Ahli perniagaan terkemuka di Vietnam, Dr. Tran Qui Thanh boleh dikatakan mempunyai wataknya yang tersendiri.

Beliau memiliki perniagaan minuman ringan yang terbesar di negara itu bergelar THP (Tan Hiep Phat Beverage Group), dan syarikat tersebut mengadakan acara gala yang disiarkan secara besar-besaran di televisyen.

Pada acara tersebut, usahawan berumur 64 tahun itu akan bernyanyi di atas pentas dengan bintang pop, kumpulan rock dan pelbagai selebriti lain.

Pada tahun 2015, THP dilaporkan telah mencatatkan jualan sebanyak AS$ 500 juta (RM 1.94 bilion) sehinggakan beliau digelar  ‘Raja Teh’ Vietnam.

Menurut BBC, Dr. Thanh menubuhkan THP pada tahun 1994, iaitu tahun yang sama AS mengakhiri embargo perdagangannya terhadap negara tersebut.

Kini, syarikat tersebut menjual lebih daripada satu bilion liter teh hijau dan teh herba yang telah dibotolkan, minuman tenaga, air dan susu soya di negaranya dan 16 negara lain.

Berhasrat untuk menjual tehnya di AS dan negara-negara lain, Dr. Thanh meramalkan bahawa minuman yang dihasilkan oleh THP akan meningkat sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang.

Merupakan seorang usahawan daripada usia muda (23 tahun), beliau telah memulakan perniagaan pertamanya pada tahun 1976,  sejurus tamat pengajian dari sebuah universiti di Ho Chi Minh City (dahulunya dikenali sebagai Saigon).

Dr. Tran Qui Thanh pengasas minuman teh THP di kilangnya

Setahun selepas peperangan berakhir, ekonomi Vietnam banyak dikenakan sekatan oleh pihak komunis yang baru meraih kemenangan.

Untuk menjana pendapatan, Dr. Thanh menghasilkan yis untuk pembikinan roti di ruang tamu kediamannya dengan menggunakan buaian nilon tinggalan tentera Amerika Syarikat (AS) sebagai penapis.

Namun, inflasi telah meneybabkan perniagaan yisnya merosot, dan beliau kemudian beralih kepada penghasilan gula pula.

“Kerajaan pada ketika itu tidak menggalakkan pembentukan syarikat persendirian. Malah pada ketika itu kami tidak mempunyai peralatan yang mencukupi, pengetahuan teknikal kami pula terhad, serta kami hampir ketiadaan modal.

“Ia merupakan tempoh masa yang sukar buat kami semua,” katanya

Tambahnya lagi, sumber barangan sangat terhad pada waktu itu, dan beliau cuba sedaya upaya untuk menghasilkan apa-apa sahaja dengan barangan yang ada untuk dijual lalu dijadikan sumber pendapatan.

Hanya pada akhir era 80-an, kerajaan komunis mula menggalakkan penubuhan syarikat persendirian.

 

KEJAYAAN DR. THANH “LUAR BIASA”

Pencapaian Dr. Thanh dianggap sebagai luar biasa memandangkan beliau membesar di rumah anak yatim  selepas ibunya meninggal dunia dalam sebuah kemalangan kereta pada tahun 1962.

Tambahan lagi, peperangan yang berlaku turut mengeruhkan lagi keadaan kehidupan di negara itu.

Tetapi kerana sudah biasa ‘makan garam’, Dr. Thanh tidak lagi gentar untuk menempuhi sebarang cabaran yang di dalam dunia perniagaan.

“Sentiasa menyerang, sentiasa berjuang.

“Hal ini kerana kami telah berjuang selama bertahun-tahun … jadi pada kami, berjuang adalah satu-satunya cara  untuk menang,” tegasnya.

Apabila THP mula diperkenalkan pada tahun 1994, Dr. Thanh menyedari bahawa beliau perlu melakukan kajian yang terperinci dan holistik mengenai pasaran minuman.

Beliau mendapati pesta perdagangan industri minuman Drinktec,  yang didakan di Jerman pada tahun boleh menjadi platform untuk memulakan perniagaannya.

Tetapi pada waktu itu, beliau tidak mempunyai pengetahuan bagaimana untuk pergi ke luar negara, dan Dr. Thanh kemudian mengambil keputusan untuk mengikuti sebuah kumpulan rombongan untuk ke sana.

Apabila tiba di Jerman, ahli perniagaan itu dengan segera meninggalkan rombongan tersebut untuk menghadiri pameran perdagangan berkenaan..

 

BERMULA DARI BAWAH

THP pada mulanya menghasilkan bir, namun tidak lama selepas itu beralih ke teh botol dan minuman tenaga.

“Ketika THP baru bermula, kami hanya mempunyai 20 orang pekerja dan menghasilkan kira-kira 3000 liter teh sehari, dalam satu tahun jumlah yang dihasilkan adalah satu juta liter.

“Hari ini kami mempunyai lebih daripada 4,000 pekerja dan menghasilkan lebih daripada satu bilion liter setahun.”

Tambah beliau lagi, menjelang tahun 2023, syarikat yang berpangkalan di Ho Chi Minh tersebut ingin menghasilkan lebih tiga bilion liter teh setahun.

Oleh kerana Vietnam sedang menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat, (pada tahun lepas sahaja ekonomi negara tersebut telah mengalami peningkatan sebanyak 6.8% serta dijangka akan mengalami jumlah peningkatan yang sama pada tahun 2018)  – THP berkata ia menyasarkan lebih 90 juta pelanggan dari negara tersebut.

Syarikat itu juga merancang untuk meningkatkan jualan eksportnya, yang mana bilangan eksportnya buat masa ini hanyalah 10% daripada jumlah jualan keseluruhannya.

 

THP PERNAH DIDEKATI COCA-COLA

Kejayaan yang telah dicapai THP bukanlah tanpa cabaran. Beberapa tahun lalu, media tempatan sangat kritikal tentang kejadian di mana  kononnya terdapat serangga telah dijumpai di dalam salah satu botol teh keluaran THP, walaupun syarikat tersebut telah memenangi kes tersebut di mahkamah.

Kewujudan THP juga telah berjaya menarik perhatian syarikat minuman ringan terbesar di dunia, iatu Coca-Cola.

Difahamkan, Coca-Cola pernah menunjuk minat untuk membeli THP pada tahun 2011, namun Dr. Thanh menarik diri daripada perjanjian itu apabila syarikat gergasi itu tidak mahu mengembangkan THP ke seluruh dunia.

Tran Ngoc Bich

Oleh itu, THP kekal menjadi perniagaan milik keluarga, dengan dua anak perempuan Dr. Thanh memegang jawatan penting dalam syarikat tersebut.

Anak sulungnya,  Tran Uyen Phuong bertanggungjawab ke atas bahagian perhubungan awam dan pemasaran, manakala anak bongsunya Tran Ngoc Bich pula menguruskan bahagian sumber manusia.

Tran Ngoc Bich berkata: “Ayah saya mempunyai moto (peribadi) yang juga menjadi moto syarikat ini – hari ini adalah lebih baik daripada semalam, tetapi tidak sebaik keesokan hari. Beliau sentiasa berpandangan positif untuk  mengambil langkah seterusnya.”

Dalam pada itu, Fiachra Mac Cana, individu yang mengetuai Ho Chi Minh Securities, iaitu sebuah firma yang melabur dalam syarikat-syarikat Vietnam, mengatakan bahawa jika THP (atau perniagaan Vietnam lain) ingin meningkatkan bilangan eksport mereka, mereka perlu menjadi jenama yang dikenali oleh seluruh dunia.

“Ini adalah satu cabaran yang amat besar dan mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun, untuk mencapainya” tegasnya.

Walau bagaimanapun, Dr. Thanh dilihat amat yakin dan tidak gentar untuk mencapai matlamat ini.

“Sebagai contoh, apabila orang menyebut Toyota secara automatik kita akan memikirkan tentang negara Jepun,” ujarnya.

“Saya berharap apabila orang menyebut THP pada masa akan datang, mereka akan secara automatik terfikirkan Vietnam,” ujarnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close