Teknologi

Kini Dron Memainkan Peranan Penting Dalam Kehidupan Haiwan

Menurut sebuah kajian yang diterbitkan minggu lalu dalam jurnal  ‘Kaedah di dalam Ekologi dan Evolusi’, golongan penyelidik di Australia mencadangkan adalah lebih tepat mengira bilangan hidupan liar menggunakan dron berbanding kaedah tradisional.

Mengira bilangan hidupan dalam satu spesies adalah sebuah langkah penting untuk usaha pemuliharaan haiwan.

“Kami kini sangat memerlukan data yang tepat tentang bilangan haiwan liar sedia ada, hal ini kerana kebanyakan mereka sedang berhadapan dengan kepupusan,” kata Jarrod Hodgson, ketua penyelidik kajian ini yang juga merupakan seorang calon Ph.D di Pusat Pengajian Sains Biologi Universiti Adelaide.

“Pengawasan secara tepat dapat mengesan perubahan kecil yang berlaku pada bilangan haiwan.

“Hal ini sangat penting kerana jika telah berlaku pengurangan jumlah yang terlalu besar pada sesuatu spesies, mungkin pada masa itu telah terlambat untuk memulihara spesies yang terancam, ” tegasnya lagi.

Imej sarang yang didapati menerusi penggunaan dron

Dron sebelum ini telah digunakan untuk memantau pelbagai haiwan yang berbeza, seperti gajah dan burung yang bersarang.

Namun pasukan penyelidik ini mengatakan, tidak dapat dipastikan betapa tepat dron dalam mengira bilangan kehidupan dalan sebuah spesies.

Bagaimana para penyelidik menguji ketepatan ini?

Pasukan penyelidik itu telah mencipta sekumpulan burung palsu menggunakan 2,000 arca yang direka seakan-akan burung laut Crested Tern.

Arca ini kemudian telah diletakkan merata-rata di sebuah pantai di Adelaide, Australia.

Jarred Hodgson di tengah-tengah koloni burung palsu

Selepas itu pakar kehidupan liar menghitung burung-burung palsu dari daratan dengan teropong dan teleskop.

Di udara pula,  terdapat dron yang berlegar-legar di udara yang berfungsi menangkap gambar keadaan sekeliling untuk tujuan pengiraan burung-burung tersebut oleh sekumpulan lagi saintis

 “Dalam keadaan sebenar, bilangan sebenar haiwan dalam sebuah populasi tidak diketahui, hal ini menyukarkan kami untuk mengetahui ketepatan pengiraan oleh dron.

“Jadi, kami perlu menguji teknologi ini di sebuah keadaan yang kami sudah ketahui kuantitinya,” terang Hodgson kepada CNN Tech.

Para penyelidik mendapati bahawa penggunaan dron untuk mengira bilangan sebuah spesies adalah lebih tepat daripada mengiranya dari daratan.

Oleh kerana mengira bilangan spesies dalam sebuah gambar mengambil masa yang lama, mereka telah mencipta algoritma komputer untuk mengira bilangan burung secara automatik.

Hasilnya hampir setepat bilangan yang dapat dikira pasukan saintis tersebut, menurut pasukan penyelidik itu.

Koloni burung crested Tern yang sebenar

Kajian tersebut diterbitkan oleh pasukan saintis dari Universiti Adelaide di bawah Jabatan Antartika Australia bersama Universiti Tasmania dan Universiti Monash.

Hodgson berkata mereka masih mempelajari bagaimana hidupan liar akan bertindak balas terhadap kehadiran dron di dalam situasi yang sebenar.

“Hasilnya akan membantu memperbaiki dan menambah baik protokol pemantauan dengan dron supaya kehadirannya mempunyai kesan yang minimum terhadap kehidupan liar.

“Hal ini adalah amat penting terutamanya bagi spesies yang mudah terdedah kepada gangguan serta keadaan di mana jika penyelidik berada berdekatan haiwan akan menyukarkan proses penyelidikan,” ujar Hogson lagi.

Para penyelidik merancang untuk menjalankan ujian yang sama menggunakan dron untuk memantau pelbagai spesies anjing laut, bilangan sarang-sarang burung atau laluan haiwan yang sukar dikesan dengan mata kasar.

Terdapat teknologi lain yang sedang digunakan untuk mengira populasi hidupan liar.

Tahun lalu, sekumpulan penyelidik dari British Antarctic Survey dan Canterbury Museum di New Zealand menunjukkan bahawa burung albatross dapat dilihat dan dikira dari angkasa menggunakan imej satelit beresolusi tinggi.

Albatros, sejenis burung laut besar, antara salah satu kumpulan burung yang paling terancam di dunia.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close