AntarabangsaIsu Semasa

“Saya Yang Menamatkan Perang Dingin”

Baru-baru ini, bekas perdana menteri Itali, Silvio Berlusconi membuat pelbagai kenyataan sepanjang kempen pilihan raya yang sedang berlangsung di negara itu, dan antara yang paling signifikan adalah pengakuan bahawa beliau merupakan individu yang memainkan peranan utama dalam menamatkan Perang Dingin.

“Ketika saya di dalam kerajaan pada tahun 2001, saya berkata secara umum bahawa saya mahu menamatkan Perang Dingin, yang telah berlanjutan selama 50 tahun,” katanya sambil menyifatkan peperangan itu sebagai satu penderitaan yang amat mengerikan.

Memetik laporan Reuters, kenyataan beliau itu mengejutkan ramai ahli-ahli sejarah yang menyatakan bahawa Perang Dingin tamat di antara keruntuhan Tembok Berlin (Berlin Wall) pada tahun 1989 dan Kesatuan Soviet (Soviet Union) dua tahun kemudian.

Tetapi menurut Berlusconi, peperangan itu berakhir pada bulan Mei 2002 di sebuah persidangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dianjurkan oleh beliau di Rom yang turut dihadiri oleh Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

“Dan saya berjaya (dalam menamatkan Perang Dingin) kerana di Rom, di Pratica di Mare (pangkalan udara) pada tahun 2002, saya memujuk George Bush dan Vladimir Putin, menggunakan segala bakat saya dalam hubungan persahabatan, untuk mengakhiri Perang Dingin,” ujarnya.

Jelas beliau, perkara itu dapat dicapai dengan “menandatangani perjanjian bersama NATO yang meramalkan kerjasama di antara Persekutuan Rusia dan NATO dalam pelbagai sektor.”

Oleh itu, hasil persidangan tersebut membawa kepada pengisytiharan hubungan NATO-Rusia yang menyediakan mekanisme untuk rundingan dan kerjasama.

Dalam pada itu, perikatan konservatif parti Forza Italia (diasaskan oleh Berlusconi) dan sekutu-sekutu berhaluan kanannya, iaitu Northern League and Brothers of Italy, dijangka akan memenangi kerusi yang paling banyak dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 4 Mac nanti.

Berlusconi yang pernah memimpin empat pentadbiran kerajaan di antara tahun 1994 dan 2011, sering kali menyatakan bahawa pemerintahannya membuatkan Itali lebih dihormati di peringkat antarabangsa.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker