AntarabangsaIsu Semasa

Rakyat Thailand Mahu Demokrasi Dikembalikan Semula

Thailand ditadbir oleh pihak tentera sejak insiden rampasan kuasa yang menyaksikan penggulingan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra pada tahun 2014.

Rampasan kuasa itu dilaksanakan susulan krisis politik yang berlanjutan selama 6 bulan, di mana kerajaan menjadi tidak terkawal apabila penyokong anti-kerajaan mengadakan demonstrasi hampir setiap hari untuk membantah pentadbiran Yingluck.

2018 menandakan tahun keempat Thailand ditadbir oleh tentera dan pilihan raya sepatutnya diadakan tidak lama lagi.

Namun, kerajaan pimpinan tentera telah menangguhkan pilihan raya beberapa kali dan rakyat di negara itu menggesa supaya ia dilaksanakan secepat mungkin.

Memetik laporan Al-Jazeera, tarikh terbaru yang ditetapkan untuk pilihan raya yang akan “memulihkan semula demokrasi” di Thailand itu adalah pada bulan November ini. 

Walau bagaimanapun, tarikh tersebut ‘terpaksa’ ditukar lagi susulan perubahan undang-undang pilihan raya yang diluluskan oleh parlimen pada bulan lepas.

Ini bermakna, ia akan dibawa ke hadapan pada awal tahun 2019, dan perkara ini ternyata mencetuskan kemarahan dan ketidakpuashatian dalam kalangan rakyat yang mahu mengembalikan semula pemerintahan awam.

Difahamkan, kira-kira 400 orang telah berkumpul di Monumen Demokrasi untuk menekan dan mendesak  kerajaan tentera.

“Kami jijik dengan (pemerintahan) diktator,” merupakan antara ayat yang dipamerkan menerusi papan tanda yang dibawa oleh penunjuk perasaan.

“NCPO (kerajaan tentera Thailand) sepatutnya mengadakan pilihan raya pada bulan November 2018, bukan menangguhkannya kepada Februari 2019.

“Encik Prayuth (Perdana Menteri), bolehkah anda mendengar suara-suara rakyat?”, kata seorang wakil demonstrasi yang dikenali sebagai Sasiphat Siri.

Selain daripada permintaan untuk mengadakan pilihan raya dengan segera, parti-parti politik lain di negara itu turut menggesa tentera untuk ‘menghalalkan’ semula kempen pilihan raya dan membenarkan mereka untuk membuat persediaan.

Tetapi, pegawai-pegawai kanan kerajaan kerap berdolak-dalih dan menyatakan “belum tiba masanya untuk memansuhkan larangan” berkempen.

Perkara ini juga mengundang kritikan daripada ramai ahli politik dan kumpulan hak asasi manusia yang menuduh tentera sengaja bertindak sedemikian untuk kekal berkuasa lebih lama.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker