AntarabangsaIsu Semasa

Bayar Cukai Apabila Menghasilkan Pencemaran

Pada 1 Januari 2018, China telah mula menguatkuasakan undang-undang baru bertujuan untuk melindungi dan alam sekitar dan mengurangkan pelepasan bahan pencemar.

Dikenali sebagai Undang-Undang Cukai Perlindungan Alam Sekitar, ia mewajibkan syarikat-syarikat serta institusi awam untuk membayar cukai yang menghasilkan/melepaskan bahan pencemar bunyi, udara, air, dan juga sisa pepejal.

Memetik laporan Xinhuanet, undang-undang baru ini turut menamatkan “yuran pelepasan bahan pencemar” yang telah dikumpul oleh kerajaan China selama hampir 40 tahun.

Difahamkan, negara tersebut telah mengumpul yuran itu sejak tahun 1979 lagi, namun segelintir kerajaan tempatan mengambil kesempatan dan mengeksploitasi kekurangan yang ada pada sistem itu.

Wang Jinnan, ketua  Chinese Academy For Environmental Planning di bawah Kementerian Perlindungan Alam Sekitar, ini merupakan sistem cukai pertama di negara itu yang direka khas bagi melindungi persekitaran sekali gus dapat mewujudkan sistem kewangan dan cukai yang mesra alam.

Dalam pada itu, ia juga berperanan untuk mempromosikan pengawalan dan rawatan pencemaran.

Bercakap tentang kadar cukai, kerajaan pusat akan menetapkan had dan membolehkan kerajaan tempatan untuk menentukan kadar mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, rakyat atau individu tidak perlu membayar cukai ini memandangkan ia hanya diwajibkan ke atas syarikat perniagaan dan institusi awam sahaja.

Dengan hasil cukai yang dikumpul, kerajaan pusat akan memperuntukkan/mengagihkannya kepada kerajaan-kerajaan tempatan untuk menggalakkan lagi penyertaan orang ramai dalam menangani pencemaran.

Menurut penganalisis, kerajaan dijangka akan mengutip kira-kira 50 bilion yuan (RM 30.7 bilion) setiap tahun menerusi sistem baru ini.

Sehubungan dengan itu, menangani pencemaran turut disenaraikan sebagai salah satu daripada “tiga perjuangan sukar” yang ingin diselesaikan oleh China dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Daripada bulan Januari sehingga November 2017, kerajaan telah menyiasat lebih daripada 35,600 pelanggaran undang-undang perlindungan alam sekitar, yang menyaksikan peningkatan 102% berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker