Isu SemasaTempatan

Minuman 3 Dalam 1 ‘Dicampur’ Dengan Dadah?

Pada zaman ini, kesibukan serta masa yang terhad merupakan salah satu sebab utama mengapa ramai orang lebih gemar untuk mengambil ‘jalan pintas’ dalam menyediakan makanan dan minuman.

Oleh itu, minuman 3 dalam 1 atau minuman segera sering menjadi pilihan memandangkan ia boleh disediakan dengan mudah dan segera.

Walau bagaimanapun, individu-individu yang kerap pergi ke pusat-pusat hiburan dinasihati untuk sentiasa berwaspada kerana ‘minuman segera’ perisa buah-buahan yang telah dicampur dengan dadah methamphetamine kini dijual secara meluas.

Memetik laporan Straits Times, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Zolkifli Mohd Dom, berkata, hasil siasatan dalam serbuan mendapati bahawa dadah tersebut dicampurkan ke dalam jus buah-buahan untuk diberikan kepada pelanggan.

Penangkapan ketika operasi serbuan – Sumber: Straits Times

“Paket (minuman) tersebut mempunyai gambar yang melambangkan perisanya. Ia dilihat serupa dengan paket minuman 3 dalam 1.

“Pengguna hanya perlu mencampurkan kandungan tersebut dengan air untuk meminumnya. Ketika melancarkan serbuan di sebuah pusat karaoke di Medan Istana (Ipoh), kami menemui beberapa paket (minuman) berperisa mangga,” kata beliau.

Ujar Zolfikli, serbuan yang dilakukan dengan kerjasama pihak polis itu telah berjaya menahan 22 individu yang berusia di antara 20 dan 30 tahun.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, Azman Hashim menyatakan bahawa serbuan tersebut merupakan sebahagian daripada operasi 24 jam bersama pihak polis yang bermula pada hari Isnin.

“Kami telah menahan seramai 55 pengguna dadah di 8 lokasi di sini. Selain daripada pusat karaoke, kami juga menangkap pengguna dadah di lokasi-lokasi (tempat persembunyian) lain di Chemor, Jelapang, Tambun, dan Tanjung Rambutan,” kata Azman.

Tambahnya lagi, 45 individu daripada jumlah tersebut adalah lelaki yang berusia daripada 19 hingga 66 tahun, dan dadah-dadah yang ditemui termasuk opiat, methamphetamine dan ganja.

Show More

Artikel Berkaitan.