AntarabangsaIsu Semasa

Militan Semakin Mahir Menggunakan Senjata & Teknologi Baru

Negara-negara Eropah mungkin akan berhadapan peningkatan ancaman keganasan pada tahun ini memandangkan ramai pejuang-pejuang militan IS atau Daesh pulang semula ke tanah air masing-masing, tetapi bukan dengan ‘tangan kosong’.

Memetik laporan AFP, mereka yang pulang itu telah ‘diisi’ dengan pelbagai kemahiran, pengetahuan, dan taktik untuk melancarkan serangan ketika menjalani latihan di Syria dan Iraq.

Salah satu perkara yang paling dibimbangkan adalah kemampuan mereka dalam menggunakan dron-dron yang dilengkapi dengan senjata, kenderaan bom canggih, dan teknologi-teknologi baru yang lain.

Berdasarkan sebuah laporan daripada Jane’s Terrorism and Insurgency Centre (JTIC), puak ekstremis akan kekal sebagai ancaman utama keganasan di Eropah pada tahun 2018, memandangkan IS amat mementingkan operasi antarabangsa bagi menjaga dan mengekalkan kewujudan mereka di peringkat global.

Dalam pada itu, pejuang-pejuang yang telah pulang dipercayai akan mengukuhkan lagi “kemampuan, kekukuhan ideologi, dan ekstremisme” dalam rangkaian radikal sedia ada di seluruh Eropah.

“Dalam jangka masa 5 hingga 10 tahun, negara-negara Eropah bakal menghadapi ancaman keganasan tinggi oleh banduan radikal, serta pejuang-pejuang lain yang mempunyai hubungan langsung dengan legasi Daesh,” kata Otso Iho, penganalisis kanan di JTIC.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa serangan-serangan menggunakan trak/van, bahan letupan buatan sendiri (IED), serta pisau dan senjata-senjata kecil cenderung untuk berterusan.

“Pejuang asing yang kembali ke Eropah akan menyediakan kemahiran-kemahiran kritikal yang akan membantu rangkaian ekstremis bagi melancarkan lebih banyak serangan yang kompleks.

“Kemahiran-kemahiran ini termasuk pembinaan IED yang canggih…kepakaran dalam senjata, dan penggunaan senjata atau teknologi baru seperti dron,” ujar Iho.

Tegas beliau, sekiranya senjata-senjata tersebut digunakan di Eropah, ia akan menunjukkan peningkatan yang amat ketara dalam aspek tahap ancaman.

Menurut JTIC, terdapat beberapa petunjuk bahawa segelintir sel pengganas telah mula mencuba menggunakan kaedah baru ini, termasuk dalang di sebalik serangan di Barcelona pada bulan Ogos 2017.

Walau bagaimanapun, ancaman ini bukan hanya daripada pejuang yang bakal pulang, tetapi juga pejuang yang sedang menjalani hukuman penjara turut meningkatkan lagi risiko radikalisasi dalam kalangan banduan.

Lebih membimbangkan lagi, data JTIC menunjukkan bahawa ramai anggota militan yang dipenjarakan sejak dua tahun lalu mungkin akan dibebaskan di antara tahun 2019 dan 2023.

Oleh itu, pasukan keselamatan Eropah juga dijangka akan mengalami waktu yang sukar untuk melakukan operasi membanteras keganasan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.