Isu SemasaTempatan

Ramai Doktor Malaysia Berkhidmat di UK

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Malaysia dilaporkan berhadapan masalah lambakan graduan perubatan, dengan kerajaan menerima 6,000 graduan setiap tahun untuk penempatan bekerja.

Walau bagaimanapun, terdapat juga sejumlah besar doktor yang telah memutuskan untuk berkhidmat di luar negara seperti United Kingdom untuk mencari peluang yang lebih baik.

Terbaru, Daily Mail UK melaporkan Sejumlah 1,548 orang doktor Malaysia bekerja di United Kingdom’s Health Service (NHS) pada September lalu.

Laporan itu mendedahkan bahawa rakyat Malaysia adalah warganegara asing kelima tertinggi yang bekerja sebagai doktor dalam perkhidmatan kesihatan awam UK, walaupun tidak diketahui siapa warga Malaysia ini dan sama ada mereka adalah graduan UK atau pun tidak.

Keseluruhannya, terdapat 2,201 orang rakyat Malaysia yang didaftarkan sebagai kakitangan di bawah NHS pada September 2017. Walau bagaimanapun, selain daripada berkhidmat sebagai doktor, tidak jelas jenis pekerjaan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia terbabit di pusat kesihatan itu.

Kumpulan pekerja Malaysia di NHS adalah sebahagian daripada 137,000 orang pekerja asing dalam perkhidmatan kesihatan awam UK yang bekerja bersama doktor, jururawat dan pekerja-pekerja infrastruktur dari Britain.

Terdapat 976,288 kakitangan British yang bekerja di NHS, bersamaan dengan 87.5 peratus. Sebaliknya, 137,000 doktor, jururawat dan kakitangan infrastruktur adalah warganegara dari negara lain, termasuk 62,000 orang dari Kesatuan Eropah yang bersamaan dengan 5.6 peratus.

Selepas warganegara Britain, warganegara India menduduki tempat kedua dengan 18,348 kakitangan, diikuti rakyat Filipina seramai 15,391 orang dan warganegara Ireland berjumlah 13,016 orang.

Malaysia sendiri mengalami kekurangan pakar perubatan. Terdapat lebih 7,000 pakar di negara ini, termasuk kira-kira 4,000 orang dalam sektor awam, tetapi ini tidak mencukupi untuk keperluan perubatan Malaysia.

Malah lebih banyak statistik baru-baru ini juga mendedahkan bahawa 170 pakar perubatan kerajaan meletak jawatan pada tahun lalu, peningkatan yang besar daripada 158 pakar yang meletak jawatan pada tahun sebelumnya.

Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), antara faktor doktor tempatan berkhidmat di luar adalah kerana prospek pekerjaan dan prospek jawatan yang lemah di Malaysia selain kemungkinan untuk mengikuti pengajian pakar di luar negara, seperti di UK.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.