Hiburan

Rakan Sekelas Dedah 10 Perkara Tentang Kim Jong-Un

Seperti mana-mana pemimpin negara lain, Kim Jong-Un juga pernah melalui kehidupan sebagai seorang pelajar yang mempunyai kerja sekolah. Atas suruhan bapanya, bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il, Kim dihantar ke sebuah sekolah di Switzerland dari tahun 1998 hingga 2000.

Oleh itu, pihak media sering merujuk bekas rakan sekolah beliau untuk mengetahui dengan lebih mendalam personaliti Kim ketika remaja. Mental Floss senaraikan 10 perkara tentang Kim ketika zaman persekolahan.

  1. PEMINAT NO. 1 KASUT AIR JORDAN

Ketika muda, Kim mungkin tidak pernah terfikir bahawa satu hari nanti beliau dapat meluangkan masa bersama bekas pemain bola keranjang Chicago Bulls, Dennis Rodman. Ketika berusia 17 tahun, beliau begitu minat atau obsess dengan bola keranjang, terutamanya team Chicago Bulls sehinggakan meletakkan sebuah bilik di apartmennya khas untuk koleksi memorabilia. Kim juga banyak menghabiskan masanya melukis Michael Jordan dan dikatakan minat memakai kasut Air Jordan ketika bermain bola keranjang.

  1. MEMPUNYAI NAMA SAMARAN

Oleh kerana tidak mahu dikenal pasti sebagai anak pemimpin Korea Utara, Kim didaftarkan di sekolahnya, Liebefeld Steinhölzli Schule, di bawah nama Pak Un. Guru-guru dan rakan sekolahnya memerhati ibu bapa Kim tidak pernah hadir untuk majlis sekolah.

  1. MINAT FILEM AKSI

Pada tahun 2009, rakan Kim memberitahu The Washington Post bahawa Kim sedikit janggal (socially awkward), terutamanya dikalangan pelajar perempuan. Apabila beliau tidak menonton permainan basketball, beliau akan menonton filem aksi melalui Sony PlayStation. Kim suka bermain permainan perlawanan dan dikatakan minat filem-filem Jackie Chan.

  1. MEMPUNYAI ROMBONGAN PENGIRING

Kehadiran Kim di sekolah adalah unik disebabkan rombongan pengiringnya. Pada bila-bila masa, ada yang akan muncul sebagai pengawal peribadi atau pembantunya. Terdapat dua pekerja yang akan merakam permainan bola keranjangnya. Rakan-rakannya berkata perkara tersebut agak ‘pelik’ tetapi hanya menganggapnya sebagai perkara yang biasa dilakukan di Korea.

  1. TIDAK PANDAI SIMPAN RAHSIA

Walaupun keluarganya telah melakukan banyak perkara untuk merahsiakan identiti sebenarnya, Kim pernah memberitahu rakan sekelasnya, Joao Micaelo, bahawa bapanya ialah pemimpin Korea Utara. Tetapi Micaelo memberitahu CNN pada tahun 2010 bahawa beliau tidak percaya ketika diberitahu.

  1. TIDAK SUKA SPAGETI SEJUK

Micaelo sering melawat Kim di apartmennya, yang terletak di ibu pejabat kedutaan Korea Utara. Beliau memerhati, Kim ialah seorang yang suka menyimpan diri dan tidak pernah melihatnya marah. Tetapi pada satu hari, tukang masak kedutaan tersebut telah menghidangkannya pasta yang tidak panas. “Beliau bercakap dengan pembantu tersebut dengan cara yang agak kasar,” Micaelo memberitahu The Telegraph pada tahun 2010. “Saya terkejut kerana ia bukan tingkah laku biasa.”

  1. LEBIH MINAT PAKAI ‘TRACKSUIT’

Kim lebih memilih untuk memakai baju yang selesa. Koleksi pakaiannya terdiri daripada tracksuit yang sering dipakai untuk ke kelas.

  1. BUKAN PELAJAR PALING PINTAR DI DALAM KELAS

Walaupun Kim adalah dua tahun lebih tua daripada rakan sekelasnya disebabkan beliau tidak begitu fasih dalam Bahasa Jerman, prestasi akademiknya tetap tidak memuaskan. Pada tahun 2012, The Telegraph melaporkan bahawa Kim tidak hadir sekolah selama 75 hari pada tahun pertamanya dan 105 hari pada tahun keduanya. Beliau gagal dalam subjek Sains Semula jadi dan mendapat markah minimum untuk lulus dalam kebanyakan subjek lain.

  1. MINAT KEJU SWISS

Ia dilaporkan bahawa beliau sangat gemar keju Swiss sehinggakan telah mengarah tukang masak peribadinya untuk mendaftar di sekolah masakan Perancis supaya mereka dapat membuat keju yang sama seperti yang dimakan ketika sekolah, iaitu keju Emmental. Berat badan Kim telah meningkat sebanyak 40 kg dari 2012 hingga 2016, tetapi punca kenaikkan badan tersebut tidak diketahui.

  1. LENYAP SECARA TIBA-TIBA

Kim masih mempunyai beberapa bulan untuk menghabiskan tahun persekolahannya, tetapi telah lenyap secara tiba-tiba. Beliau tidak memberitahu alamat lain atau apa-apa indikasi bahawa beliau akan berpindah. “Kami ingat beliau jatuh sakit dan mungkin akan datang kembali,” bekas rakan sekelasnya, Nikola Kovacevic, memberitahu The Washington Post.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker