Isu SemasaTempatan

Program Pemandu Pelancong ‘Tour Buddy’ Adalah Haram?

Tour Buddy adalah platform di mana orang awam yang tidak terlibat dalam bidang pelancongan boleh menjadi peserta bagi mempromosi serta memperkenalkan tempat tarikan pelancongan yang baru di Malaysia.

Ia diperkenalkan oleh Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada tahun lepas dan menjangkakan seramai 2,000 orang awam atau syarikat menjadi Tour Buddy menjelang akhir tahun 2018.

Peserta akan diberikan latihan selama sebulan dan akan menggunakan aplikasi mudah alih sedia ada untuk mempromosikan pakej serta bayaran yang dikenakan.

Program ini melibatkan sembilan lokasi pelancongan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Melaka, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Taman Negara.

Menurut MITA, melalui Tour Buddy, peserta boleh menjana pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan.

TOUR BUDDY MEMBURUKKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Menurut Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), mereka telah menasihatkan ahli-ahlinya yang terdiri daripada 3,200 ejen pelancongan untuk tidak menawarkan perkhidmatan Tour Buddy.

Dalam satu kenyataan, MATTA berkata program tersebut akan memburukkan industri pelancongan negara serta meluahkan rasa kecewa dengan MITA dan MDEC.

MATTA mengalu-alukan aplikasi mudah alih yang menyediakan maklumat yang tepat dan komprehensif untuk mempromosikan destinasi pelancongan, tetapi bukan platform yang memudahkan individu untuk bekerja sebagai pemandu pelancong tanpa dipantau.

MELANGGAR UNDANG-UNDANG

Menurut The Star, presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, telah mendakwa perkhidmatan itu adalah haram.

Tambahnya lagi, Akta Industri Pelancongan 1992 melarang pengusaha pelancongan berlesen daripada menggunakan pemandu pelancong yang tidak berlesen.

Tan berkata mereka yang didapati bersalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM20,000, dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Tidak kira sama ada orang itu dipanggil rakan atau buddy. Tetapi selagi perkhidmatan itu sama dengan pemandu pelancong dan dikenakan bayaran, ia adalah salah dari segi undang-undang,” katanya.

MEMANFAATKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Bagaimanapun, MITA berkata Tour Buddy adalah program yang menggalakkan penduduk tempatan, terutamanya di kawasan luar bandar, untuk membantu industri pelancongan negara.

Presiden MITA Uzaidi Udanis berkata melalui platform ini, penduduk tempatan dapat mempromosikan ladang buah-buahan mereka dan mendedahkan kawasan-kawasan di kampung yang tidak diketahui ramai.

Ini membolehkan seluruh penduduk kampung menerima manfaat daripada industri pelancongan.

Tour Buddies, katanya, dapat menunjukkan kepelbagaian makanan serta cara memasak di kampung, seperti cara membuat ketupat.

“MITA percaya ini akan meningkatkan pengalaman pelancong dengan memberi mereka lebih banyak alasan untuk tinggal lebih lama di Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, MITA bersetuju bahawa setiap orang harus mematuhi undang-undang.

“MITA tidak akan membenarkan mana-mana pemandu pelancong Tour Buddy untuk menyediakan perkhidmatan yang bertentangan dengan undang-undang,” kata Uzaidi.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker