Politik

Belia Pilih Parti Atau Calon Yang Bertanding?

Dalam sistem demokrasi, rakyat memainkan peranan penting dalam membentuk kerajaan. Namun begitu, harus diakui bahawa rakyat Malaysia terutama golongan belia seakan-akan hilang minat untuk mengikuti perkembangan politik semasa negara.

Hal ini dapat dijelaskan apabila kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi, masih tidak berdaftar sebagai pengundi.

Oleh sebab kekurangan pengetahuan dalam dunia politik, termasuk tidak mengenali calon yang bertanding, para pengundi terutama golongan belia, cenderung untuk memilih hanya berdasarkan parti semata-mata.

Tidak salah mengundi untuk parti tanpa mempedulikan atau mengetahui siapa calon mereka kerana demokrasi membolehkan anda untuk mengundi sesiapa sahaja yang anda mahu. Tetapi berulang kali mengundi untuk parti, tanpa mengetahui calon mereka hanya akan merugikan pengundi.

Politik adalah setempat. Kebanyakan pengundi meletakkan isu di sekeliling mereka sebelum melihat isu besar lain. Skandal kewangan dan isu-isu besar lain juga pasti akan menjadi faktor dalam membuat keputusan tetapi isu tempatan seperti bekalan air bersih di sesebuah DUN akan diberi perhatian terlebih dahulu kerana isu terbabit melibatkan pengundi secara langsung.

Ahli-ahli politik yang sedang menjalankan tugas perlu menilai isu-isu yang akan mendapat majoriti undi. Untuk melindungi nilai pertaruhan mereka, kebanyakan calon menolak untuk menentang isu-isu yang dianggap kontroversi, sehingga hilang undi daripada golongan belia.

Kegagalan pengundi untuk memilih calon yang boleh menggalas tugas di peringkat DUN, membolehkan parti politik menguasai wakil mereka yang terpilih, sekaligus menghalang mereka daripada menjalankan tanggungjawab seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

Penguasaan parti-parti politik, sebaliknya, membuat pengundi merasakan bahawa memberi keutamaan kepada calon juga sia-sia. Hal ini akan membuatkan pengundi hilang minat untuk berpolitik.

Berdasarkan kajian Persepsi politik belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, 76 peratus responden menyatakan mereka memilih calon yang mesra rakyat dan mereka akan memilih calon tempatan sebagai wakil mereka.

Parti yang memperjuangkan isu pembangunan dan kemiskinan turut menjadi pilihan utama dan rakyat berpendapat bahawa parti politik tidak boleh menyentuh isu peribadi semasa berkempen. Selain itu, Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk wakil rakyat dan menteri akan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Jika pengundi sekadar inginkan pembaharuan kecil dalam kawasan tempat tinggalnya, maka bolehlah mengutamakan kriteria calon yang ditampilkan dalam pilihan raya. Pilihan ini dibuat tanpa mengira parti mana yang diwakilinya. Namun, jika pengundi inginkan sesuatu yang lebih besar, barangkali boleh difikirkan parti yang diwakili calon terbabit.

Walau apa pun, dengan hanya satu undi, seseorang pengundi tidak mempunyai kuasa untuk membentuk kerajaan tetapi harus disedari bahawa satu undi merupakan satu suara sokongan kepada wakil yang bakal membentuk kerajaan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker