Hiburan

Tayangan Perdana Istimewa Filem Lee Chong Wei

Filem ‘Lee Chong Wei: Rise of The Legend’ arahan Teng Bee yang mengisahkan sepenuhnya mengenai penglibatan awal Chong Wei dalam arena badminton sehingga menjadi jaguh terkemuka dunia, akan menemui penonton di pawagam bermula 15 Mac ini.

Namun begitu, peminat Datuk Lee Chong Wei berpeluang untuk menjadi antara yang pertama untuk menonton biopiknya pada 9 Mac ini di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika tayangan perdana istimewa filem itu.

Dijangka menarik 30,000 orang penonton, acara itu bakal memasuki Malaysia Book Of Records untuk gala filem terbesar. Selain daripada tayangan filem pada skrin LED gergasi, gala perdana itu juga akan menampilkan acara permaidani merah, cabutan bertuah dan persembahan secara langsung lagu tema filem itu daripada penyanyi Nabila Razali dan Priscilla Abby.

Walau bagaimanapun, versi yang ditayangkan pada malam perdana akan menjadi yang istimewa kerana ia adalah versi yang berlangsung selama 133 minit. Versi filem rasmi hanya berjalan selama 110 minit.

Penganjur akan menyiarkan filem itu pada skrin LED gergasi 40m x 17m yang dibina khas, menjadikannya tayangan filem terbesar di Malaysia. Lee Chong Wei dan keluarganya juga dijangka menghadiri acara terbabit.

“Chong Wei tidak pernah melihat filem itu dan akan menontonnya buat kali pertama dengan semua orang di acara itu. Ia akan menjadi satu kesempatan khas untuk semua yang hadir, “kata penerbit eksekutif filem Datuk Joe Lee.

Filem itu dibintangi Tosh Chan yang membawa watak Lee Chong Wei dewasa dan Jake Eng menjayakan watak zaman kanak-kanak. Turut membintangi ialah Datuk Rosyam Nor yang memegang watak jurulatih kebangsaan Datuk Misbun Sidek, Ashley Ashley (Datin Wong Mew Choo), pelakon terkenal Singapura, Mark Lee (bapa Chong Wei, Lee Ah Chai) dan Yeo Yann Yann (ibu Chong Wei, Khor Kim Chooi).

Menurut TheStar, tiket boleh didapati pada harga RM88, RM108, RM128, RM168 dan telah mula dijual bermula 20 Januari lalu di www.myticket.asia.

Setiap tiket akan menerima sehelai T-shirt rasmi filem Lee Chong Wei: Rise Of the Legend yang bernilai RM59, satu tiket untuk menonton versi pendek Lee Chong Wei: Rise Of The Legend di GSC, satu poster filem edisi terhad yang telah ditandatangani oleh Lee serta pelakon lain dan juga satu beg filem.

Kesemua barangan berkenaan akan diedarkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari acara dengan bukti tiket. Untuk pertanyaan lanjut, hubungi 03 8605 0195.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker