Bisnes & Ekonomi

Percambahan Usahawan Dalam Kalangan Graduan Jepun

Niat murni untuk menyelesaikan masalah dihadapi komuniti menjadi pemangkin bagi graduan Jepun untuk mencuba bidang selain daripada kursus yang mereka ceburi di universiti.

PEMILIK RUMAH TAMU PADA USIA 26 TAHUN

Shun Kawashima menyambut tetamu dengan senyuman di rumah tamu Waya yang terletak di sebuah kawasan perumahan di Sapporo.

Kawashima, 26 tahun, merupakan presiden bagi sebuah syarikat penginapan.

Rumah tamu ini dibina di sebuah bangunan kosong berusia 60 tahun yang telah diubahsuai.

Ketika pelajar tahun tiga universiti seperti dirinya sedang sibuk mencari peluang pekerjaan, Kawashima pula mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan.

Dia menghubungi dua orang rakannya, Takashi Kimura, 26, dan Ryohei Shibata, 25, untuk memulakan perniagaan bersama-sama.

Setengah tahun kemudian, ketiga-tiga mereka akhirnya memutuskan untuk memulakan perniagaan rumah tamu.

Walau bagaimanapun, ketika itu  ketiga-tiga mereka hanya pelajar universiti biasa. Mereka tidak mempunyai dana atau modal untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan.

Rumah Tamu Waya di Sapporo

Tamat sahaja pengajian mereka pulang ke rumah mereka di Sapporo.

Dalam masa itu, mereka mengalami cabaran pertama mereka iaitu mencari tapak yang sesuai dan mencari dana untuk pembinaan rumah tamu tersebut.

Untuk mencari dana,  mereka kemudian mempamerkan perniagaan ini di blog dan Facebook.

Usaha mereka berjaya menarik beberapa orang untuk melabur di dalam perniagaan mereka, menyebabkan mereka akhirnya berjaya membuka rumah tamu tersebut pada musim luruh tahun 2014.

Peningkatan bilangan pelawat asing ke Jepun adalah antara faktor yang membolehkan mereka membina rumah tamu kedua pada tahun 2016.

“Pengalaman memilih haluan kita sendiri serta menggapai impian pasti akan membantu di masa hadapan.

“Bagi kami, haluan tersebut adalah memulakan perniagaan sendiri,” terang Kawashima.

BUDAYA ‘KERJA YANG STABIL’ SESUATU YANG TERTANAM DALAM DIRI MASYARAKAT JEPUN

Selepas tamat pengajian ramai individu Jepun yang berpendapat satu-satunya jalan terbaik adalah mendapatkan pekerjaan yang stabil dan bekerja sehingga tiba masanya untuk bersara.

Hal ini menjadikan suatu kebiasaan bagi anak muda Jepun yang baru habis belajar, untuk beramai-ramai mencari pekerjaan pada musim bunga.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini, terdapat peningkatan bilangan anak muda yang menolak cara tradisional masyarakat Jepun dan memilih untuk memulakan perniagaan sendiri.

PINJAMAN UNTUK ANAK MUDA

Pada tahun 2016, Japan Finance Corp telah menyediakan pinjaman untuk memulakan perniagaan bagi 371 individu yang berusia di bawah 25 tahun.

Jumlah ini merekodkan peningkatan sebanyak 28% daripada tahun sebelumnya.

“Perkembangan sektor teknologi maklumat (internet) dan pejabat kongsi telah membantu membangunkan persekitaran yang menyokong pembentukan perniagaan baru, terutamanya untuk golongan muda,” kata ketua pegawai eksekutif Darma Tech Labs, Narimasa Makino, yang memberi sokongan untuk pembinaan syarikat baru.

ORANG TENGAH BAGI PENJUALAN RUSA DI RESTORAN

Pelajar Universiti Kindai, Kohei Kagari, 21 tahun, dan pelajar Universiti Seni dan Reka Bentuk,  Toshiki Miki, 23 tahun, sedang mengasaskan perniagaan penjualan daging rusa liar.

Pelajar-pelajar ini memutuskan untuk cuba menangani masalah pembuangan majoriti rusa yang dibunuh kerana merosakkan tanaman atau mati akibat diburu.

Rusa yang dibunuh mesti dikeluarkan darahnya sejurus ia mati dan diangkut ke kilang pemprosesan daging supaya selamat untuk dimakan manusia, namun hanya ada beberapa syarikat di Jepun yang melaksanakan peranan ini.

Dengan berkhidmat sebagai orang tengah, mereka berharap dapat membekalkan rusa berkualiti tinggi ke restoran-restoran.

Kohei Kagari dan Toshiki Miki sedang berbincang tentang perniagaan mereka

Perkhidmatan ini juga akan memberi manfaat kepada petani yang mengalami kerosakan terhadap tanaman mereka.

“Saya rasa bertuah dilahirkan ketika sektor teknologi maklumat sedang giat berkembang,” kata Kagari bersemangat.

APLIKASI ‘TEMPAH SAMBIL BERAMAL’

Kaoru Joho, 24, presiden Table Cross Inc, yang memulakan aplikasi telefon bimbit bersifat dermawan untuk tempahan restoran, memulakan syarikatnya ketika dia masih menuntut di universiti lagi.

Niat beliau adalah untuk memulakan budaya ‘tempahan restoran untuk tujuan amal’ di Jepun.

Apabila pengguna membuat tempahan di restoran menggunakan aplikasi tersebut, restoran membayar Table Cross bayaran pengiklanan sebanyak 180 yen untuk satu sesi makan malam.

Daripada jumlah ini, 30 yen akan digunakan untuk membayar kos makan tengah hari untuk kanak-kanak di tujuh negara membangun, termasuk Kemboja, melalui pertubuhan amal dan badan pertubuhan lain.

Pengguna aplikasi ini boleh membuat sumbangan kepada masyarakat secara percuma,  manakala pihak restoran pula dapat mempromosikan perniagaan mereka pada harga yang murah di internet.

Table Cross juga menjana keuntungan. Ia digunakan untuk menanggung kos operasi aplikasi ini.

Menurut syarikat tersebut, setakat ini ia telah menyediakan lebih daripada 80,000 makan tengah hari di sekolah bagi kanak-kanak di negara-negara membangun.

“Masalah ini bukanlah sesuatu yang dapat diselesaikan menerusi sebuah majlis amal semata-mata.

Dengan keuntungan yang berjaya dijana, saya ingin boleh memberi sumbangan yang mampan kepada masyarakat, “kata Joho.

Semangat untuk menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat kelihatan seperti menjadi pemangkin semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar dan graduan Jepun.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.