Teknologi

Plastik Daripada Tumbuhan Untuk Menyelamatkan Bumi

Umum mengetahui sisa plastik merupakan sebuah masalah besar bagi planet ini – bumi kita dipenuhi dengannya.

Malah disebabkan sifatnya yang tidak mudah hancur ia menyebabkan ruang tapak pelupusan sampah semakin terhad.

Hanya 9% plastik yang dihasilkan boleh dikitar semula. Membakarnya pula boleh menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau dan pemanasan global.

Kita telah lama bergantung kepada plastik – ia tahan dan boleh digunakan untuk pelbagai perkara serta kebanyakan perniagaan bergantung kepadanya.

Sampaikan sehingga kini, masih tiada lagi bahan alternatif yang mesra alam yang boleh menggantikannya.

Menurut BBC, penghasilan plastik berasaskan tumbuhan merupakan antara jalan penyelesaian yang sedang dibincangkan bagi menyelesaikan masalah ini.

PENGHASILAN BAHAN MESRA ALAM MEMAKAN KOS YANG TINGGI

Penggunaan penyedut minuman adalah salah satu contoh terbaik. Primaplast, sebuah syarikat yang menghasilkan penyedut minuman berkata, kos penyedut minuman mesra alam adalah seratus kali ganda lebih mahal daripada penyedut minuman biasa.

Cawan kertas adalah sebuah lagi contoh. Berbillion-billion dibuang setiap tahun disebabkan pengguna memikirkan ia boleh dikitar semula.

Ia sebenarnya tidak boleh dikitar semula, hal ini kerana padanya terdapat lapisan polietilena yang menjadikan cawan tersebut kalis air.

BIOPLASTIK-INOVASI PLASTIK DARIPADA TUMBUHAN

Biome Bioplastics adalah salah sebuah syarikat yang cuba mengubah keadaan ini.

Mereka telah menghasilkan cawan yang boleh dikompos dan dikitar semula sepenuhnya dengan menggunakan bahan semula jadi seperti kanji kentang, kanji jagung, dan selulosa, salah satu bahagian utama yang terdapat pada sel dinding tumbuhan.

Ini berbeza dengan kebanyakan plastik biasa yang diperbuat daripada minyak.

Paul Mines, ketua eksekutif firma itu mengatakan  “kebanyakan bekas untuk ‘sekali penggunaan’ berasal daripada kadbod yang dicampur dengan plastik, menjadikannya tidak sesuai untuk dikitar semula.

Syarikat itu telah mencipta plastik berasaskan tumbuhan yang digelar ‘bioplastik’ – yang bersifat boleh terurai secara semulajadi (biodegradable) dan boleh dibuang ke dalam tong sampah biasa.

En. Mines mengatakan sedang berbincang dengan beberapa orang peruncit untuk memasarkan produk ini.

Cawan kertas boleh terurai ciptaan Biome Bioplastics

“Mustahil untuk plastik disingkirkan sepenuhnya daripada kehidupan.

“Namun sebahagian daripada plastik berasaskan petroleum boleh digantikan dengan plastik berasaskan tumbuhan,” katanya.

PLASTIK SEBAGAI BAHAN BINAAN JALAN RAYA

Pelbagai syarikat dan institut penyelidikan lain, seperti Full Cycle Bioplastics, Elk Packaging dan Pusat Penyelidikan Teknikal VTT Finland, sedang berusaha mencari jalan penyelesaian yang lebih mesra alam serta mempunyai ciri yang sama seperti plastik biasa.

Firma Milik Toby McCartney,  MacRebur telah mmenghasilkan bahan permukaan jalan raya yang dibuat daripada campuran asfalt dan pelet plastik yang telah dikitar semula.

Campuran plastik tersebut menggantikan kebanyakan bitumen berasaskan minyak yang sering digunakan dalam pembinaan jalan raya.

Terang En McCartney, “masalah plastik dibuang merata-rata dan kualiti jalan yang teruk boleh diselesaikan sekaligus menerusi kaedah ini.”

TINDAKAN KERAJAAN DALAM MENGEKANG PENGGUNAAN PLASTIK TIDAK BOLEH DIKITAR SEMULA

UK komited untuk menghapuskan semua sisa plastik yang boleh dielakkan menjelang tahun 2042.

Perancis pula melarang penggunaan beg plastik ‘sekali penggunaan’.

Untuk beberapa dekad Norway telah mengendalikan ‘skim deposit botol plastik’ – pelanggan dibayar satu krone (RM 0.65) apabila mereka memasukkan botol ke dalam mesin pengumpulan plastik.

Di UK banyak pasar raya sedang cuba mengurangkan penggunaan plastik.

Tesco berharap pada tahun 2025,  semua plastik yang digunakan dapat dikitar semula atau dikompos.

Namun masalah paling ketara tentang plastik adalah kebanyakannya tidak mudah dikitar semula.

MEMBOLEHKAN PRODUK PLASTIK DIKITAR SEMULA

Di San Jose, California, Jeanny Yao dan Miranda Wang, kedua-dua berusia 23 tahun, menumpukan usaha mereka untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dan bahan pembungkusan produk yang sukar untuk dikitar semula.

“Plastik yang sangat tercemar tidak boleh dikitar semula oleh mesin kitar semula yang canggih,” jelas Cik Wang.

Syarikat baru mereka, BioCellection memecahkan plastik daripada pelbagai sumber plastik  (seperti jaket dan bahagian-bahagian kereta) menjadi bahan kimia yang boleh digunakan sebagai bahan mentah.

“Kami telah mengenalpasti pemangkin yang  boleh memotong rantai polimer seterusnya menghasilkan tindak balas,” jelasnya.

“Apabila polimer dipecahkan kepada 10 atom karbon atau kurang, oksigen dari udara ditambahkan kepada rantai oksigen tersebut untuk membentuk spesies asid organik berharga yang boleh dibersihkan dan digunakan untuk membuat plastik.”

ELAKKAN PENGUNAAN PLASTIK BEWARNA

Helen Bird daripada Wrap Recycling Action Program (WRAP) berpendapat peniaga perlu digalakkan untuk kurang menggunakan plastik berwarna, kerana ia jauh lebih sukar untuk dikitar semula.

“Pada asasnya, lebih jernih plastik tersebut, lebih mudah untuk ia dikitar semula menjadi produk lain,” katanya.

Tambahnya lagi, dia berpendapat kerajaan perlu menggalakkan peniaga untuk menggunakan bungkusan yang boleh dikitar semula serta melabelkannya dengan jelas bagi kegunaan pelanggan.

KESIMPULAN

Kebanyakan pakar bersetuju bahawa sukar untuk masyarakat berhenti menggunakan plastik sepenuhnya.

“Walaupun kita boleh menghasilkan lebih banyak plastik yang boleh dikompos, mustahil kita boleh berhenti menggunakan plastik, kerana ia memiliki sifat yang tiada pada bahan lain” ujar Wang.

Walaupun kesedaran mengenai isu sisa plastik semakin berkembang, sehingga kini tiada siapa yang dapat menyelesaikan masalah ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.