Isu SemasaTempatan

Kerjaya Cemerlang Menanti Graduan TVET

Perdana Menteri Malaysia berkata, pembangunan modal insan yang dirangka menyediakan peluang kepada semua rakyat Malaysia menerima pendidikan, latihan dan pekerjaan yang berkualiti demi masa depan lebih cerah.

Mengambil contoh kisah Nurul Fatin Atikah dan Siti Sarah Mohd. Samsuri, beliau berkata, dua pelajar berkenaan telah membuktikan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu memberi kerjaya cemerlang.

GRADUAN TVET HASIL USAHA KERAJAAN MEMPERKASA SEKOLAH MENENGAH VOKASIONAL

Dalam pada itu, menurut blog NajibRazak.com, Nurul Fatin dan Siti Sarah merupakan dua daripada ratusan ribu pelajar Malaysia yang menerima manfaat daripada usaha berterusan kerajaan memperkasa bidang pendidikan termasuk menaik taraf 69 sekolah menengah vokasional kepada kolej vokasional.

Menurut laman sesawang Utusan Online, secara keseluruhan, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membelanjakan RM468.3 bilion dan akan membelanjakan banyak lagi untuk terus menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti untuk rakyat.

NURUL FATIN BUKTI BIDANG TEKNIKAL BUKAN UNTUK LELAKI SAHAJA

Sementara itu, Nurul Fatin berkata, keputusannya untuk menceburi bidang TVET amat bertepatan.

“Masa kecil saya suka tengok ayah di bengkel, kimpal pagar, tingkap dan macam-macam lagi. Saya minat tengok percikan api, kimpalan barangan, tetapi apabila bercakap dengan kawan-kawan semua kata kerja mengimpal ini kerja lelaki. Saya tidak ambil pusing pun, kata orang utara, saya percaya saya juga boleh buat. Kenapa tidak boleh pula?

“Jadi, lepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya nekad mengambil jurusan teknik dan vokasional. Malah, dua kali saya memohon di Kolej Vokasional Sungai Petani 1 dan rayuan kedua berjaya. Jadilah, saya pelajar Kolej Vokasional Sungai Petani 1 jurusan kimpalan. Termasuk saya cuma ada tiga perempuan dalam jurusan ini,” katanya.

Jelas Nurul Fatin, sebelum tamat pengajian, dia sudah mendapat tawaran bekerja dengan Sapura Kencana sebagai jurukimpal.

GAJI PERMULAAN LEBIH TINGGI BUAT GRADUAN TVET

Siti Sarah pula berkata, dia memilih TVET meskipun tanggapan ramai bahawa pendidikan teknik dan vokasional itu pendidikan kelas kedua dan tiada masa depan.

“Ada juga yang kata bidang itu adalah pilihan terakhir mereka yang corot di sekolah. Mereka tidak tahu kadang-kadang gaji permulaan lepasan TVET ini jauh lebih tinggi daripada diploma atau ijazah sarjana muda.

“Saya seorang daripada dua wanita lulusan Kolej Vokasional Sungai Petani 1 dalam bidang kimpalan. Terima kasih kepada kerajaan yang menyediakan peluang dan memberi landasan untuk kami berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.