Bisnes & Ekonomi

Aplikasi ‘WhatsApp Business’ Kini di Malaysia

Laporan The Digital News Report 2017 mendapati pengguna internet di Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi WhatsApp terbanyak di dunia iaitu 51 peratus bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita.

Kajian lain yang dibuat oleh organisasi berbeza, TNS Global juga mendapati Malaysia adalah negara terbanyak menggunakan WhatsApp dengan jumlah 77 peratus, diikuti Facebook Messenger dengan 41 peratus.

Bermula hujung Januari lalu, Whatsapp telah melancarkan aplikasi berasingan dikenali sebagai WhatsApp Business yang direka untuk digunakan oleh perniagaan kecil untuk lebih mudah berhubung dengan pelanggan.

WhatsApp Business menambah ciri-ciri utama seperti profil perniagaan untuk butiran seperti alamat e-mel, penerangan perniagaan, alamat kedai, dan laman web serta alat pemesejan pintar seperti pengenalan, balasan cepat, dan metrik untuk mengetahui jumlah mesej yang dihantar, diterima, dan dibaca.

Bagi mereka yang menggunakan nombor perniagaan dan nombor peribadi yang berasingan, aplikasi WhatsApp Business dan WhatsApp Messenger boleh digunakan pada peranti yang sama dan didaftarkan dengan nombor berbeza anda. WhatsApp Business juga serasi dengan WhatsApp Web, iaitu aplikasi WhatsApp melalui desktop.

Menurut The Verge, WhatsApp berkata dari masa ke masa, perniagaan yang mengesahkan nombor telefon akaun yang sepadan dengan perniagaan mereka, akan menerima lencana pengesahan pada profil mereka.

WhatsApp mengatakan pengguna lain boleh terus menggunakan aplikasi standard seperti biasa dan masih akan mempunyai kawalan penuh ke atas mesej yang mereka terima seperti menyekat nombor dan melaporkan spam.

Walau bagaimanapun, WhatsApp Business hanya ditawarkan secara percuma untuk Android sahaja buat masa ini. Selain di Malaysia, aplikasi itu turut dilancarkan di beberapa negara lain dengan pengguna whatsapp tertinggi seperti  Indonesia, Itali, Mexico, UK dan Amerika Syarikat.

Terkini, aplikasi itu juga telah melancarkan ciri pembayaran baru yang akan membolehkan pengguna menghantar wang kepada pengguna WhatsApp yang lain. Ciri pembayaran baharu itu tersedia dalam versi beta dan baru sahaja dilancarkan di India. Bagaimanapun, ciri itu belum diumumkan secara terbuka dan hanya tersedia untuk pengguna WhatsApp beta terpilih di India sahaja.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.