AntarabangsaIsu Semasa

Pendapatan Golongan Profesional Di Jepun Masih Rendah

Walaupun Jepun adalah salah sebuah negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi terbesar di dunia, pekerjaan-pekerjaan bidang profesional di sana masih mencatatkan pendapatan/gaji yang lebih rendah berbanding negara-negara lain di Asia.

Memetik laporan Straits Times, kebanyakan individu yang memegang jawatan eksekutif di negara itu menyatakan bahawa wang merupakan perkara utama yang memberi motivasi kepada mereka apabila ingin mencari pekerjaan baru.

Berdasarkan kajian pendapatan tahunan terbaru yang dilakukan oleh syarikat perunding Hays, China, Hong Kong, dan Singapura menawarkan gaji yang lebih lumayan bagi golongan profesional berkemahiran tinggi.

Walau bagaimanapun, kakitangan sokongan seperti penyambut tetamu dan pembantu pentadbiran menerima pendapatan yang lebih baik di Jepun berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Dalam pada itu, kempen Perdana Menteri, Shinzo Abe yang menggesa majikan untuk membayar pekerja dengan gaji yang lebih banyak tidak berapa mencapai sasaran, walaupun negara itu mengalami kekurangan tenaga buruh akibat populasi warga tua yang semakin tinggi.

Pakar ekonomi menjangka bahawa jumlah pekerja Jepun bakal menyaksikan peningkatan gaji sebanyak 1% sahaja pada tahun ini.

Dalam kajian berkenaan, hampir 2/3 responden berkata, mereka tidak berpuas hati dengan pendapatan yang diterima.

Sehubungan dengan itu, ini juga merupakan pertama kali jumlah pendapatan yang tidak mencukupi menjadi punca utama ramai pekerja ingin menukar pekerjaan.

Difahamkan, seramai 3,500 individu di seluruh China, Hong Kong, Singapura, Jepun, dan Malaysia terlibat dalam kajian tersebut, dan data pembayaran gaji pula diperoleh daripada lebih 3,000 syarikat.

“Tenaga kerja menjadi semakin ‘global’, jadi untuk menarik dan mengekalkan pekerja-pekerja terbaik, anda perlu bersedia untuk membayar gaji yang lebih kompetitif,” kata Marc Burrage, pengarah urusan Hays Jepun.

Ujarnya lagi, sistem pendapatan berdasarkan senioriti juga merupakan salah satu perkara yang menyumbang kepada senario gaji rendah yang sedang berlaku sekarang.

“Ini adalah satu situasi yang membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, ia akan mula menjejaskan produktiviti (pekerja),” tambah beliau.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.