Isu SemasaTempatan

Memuat Naik Video Insiden Jenayah Adalah Satu Kesalahan

Bulan lepas, negara kita digemparkan dengan klip video yang menunjukkan kegiatan seorang lelaki mencabul seorang budak perempuan di sebuah fun fair di Sungai Petani, Kedah.

Walau bagaimanapun, ramai pihak yang mempersoalkan sama ada individu yang merekod/memuat naik video tersebut telah melakukan kesalahan atau sebaliknya.

Menurut peguam hak kanak-kanak, Srividhya Ganapathy, mana-mana individu yang gagal memberi maklumat mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kepada pihak berkuasa, sebenarnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau berkata, ‘memberi maklumat’ di dalam konteks tersebut merujuk kepada tindakan untuk membuat laporan polis.

“Oleh itu, individu yang memuat naik video berkenaan telah melakukan kesalahan. Dia gagal untuk mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk melindungi kanak-kanak itu.

“Pertama sekali, dia tidak melaporkan jenayah itu, (kesalahan) kedua adalah memuat naik video, dan ketiga, dia tidak menutup wajah kanak-kanak tersebut apabila memuat naik video berkenaan,” tegas beliau.

Ujar Srividhya, tindakan individu terbabit yang menayangkan budak perempuan dalam video tersebut bermakna bahawa mangsa telah kehilangan haknya terhadap privasi.

Hal ini merbahaya kerana video tersebut boleh ‘menghantui’ hidup kanak-kanak itu apabila sudah dewasa nanti, terutamanya jika orang lain ‘membuka cerita lama’ atau mangsa sendiri terjumpa semula video berkenaan di atas talian.

Srividhya turut menyatakan bahawa individu-individu yang menyebarkan video tersebut juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai perlu sedar bahawa Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 mewajibkan mana-mana invididu yang mengetahui kesalahan (seksual) dilakukan terhadap kanak-kanak untuk melaporkan kes itu kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Presiden badan bukan kerajaan (NGO) Protect and Save the Children, Datin Che Nariza Hajjar Hashim tidak bersetuju dengan idea bahawa video-video viral sedemikian boleh digunakan sebagai ‘modal’ untuk mengambil tindakan ke atas pencabul kanak-kanak itu.

“Itu boleh menjadi alasan untuk memuat naik video dan mengongsikan pornografi kanak-kanak,” ujar beliau.

Pengasas bersama Creativity at Heart dan ahli terapi kanak-kanak, Priscilla Ho berkata, orang ramai sepatutnya menjadi lebih proaktif dalam menentang jenayah terhadap kanak-kanak, daripada hanya membiarkan video menjadi viral.

“Apakah niat seseorang itu apabila dia memuatnaik video tersebut di media sosial? Anda hanya menunjukkan kesengsaraan dan rasa malu yang dilalui oleh kanak-kanak terbabit,” jelas Priscilla.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.