AntarabangsaIsu Semasa

Kos Penutupan Telaga Minyak Asia RM 400 Bilion

Puluhan ribu telaga minyak dan gas di luar pesisir Asia Pasifik yang telah ditinggalkan selepas penggerudian pada tahun 1970an dan 1980an perlu ditutup tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun menurut syarikat perunding tenaga, Wood Mackenzie Ltd, kerja-kerja penutupan dan pembersihan telaga-telaga berkenaan akan menelan belanja besar yang boleh mencecah AS$ 100 bilion (RM 400 bilion).

Lebih membimbangkan lagi, separuh daripada kos tersebut perlu ditanggung oleh syarikat-syarikat minyak milik kerajaan setiap negara di rantau ini, sekali gus membebankan pembayar cukai, pembayar cukai juga.

Rantau Asia Pasifik mempunyai kira-kira 35,000 telaga luar pesisir, lebih daripada 2,500 platform serta 55,000km saluran paip di pelbagai negara termasuk China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Australia.

Dalam sebuah laporan, Wood Mckanzie menyatakan bahawa terdapat kira-kira 7.5 juta tan keluli yang terdedah dengan bahan pencemar petrokimia.

Menurut agensi berita Bloomberg, penutupan telaga minyak dan gas adalah satu kegiatan yang agak baru di Asia Pasifik, namun ia adalah perkara biasa yang dilakukan di Teluk Mexico dan Laut Utara Eropah,

Penganalisis, Jean-Babtiste Berchoteau dan Prasanth Kakaraparthi berkata, proses penutupan ini boleh menyebabkan pencemaran terhadap lautan sekiranya ia tidak dilakukan dengan betul, sekaligus menjejaskan sumber perikanan.

“Memandangkan alat-alat (bagi proses penutupan) ini telah melebihi tempoh operasinya, ia berkemungkinan akan rosak dan meningkatkan risiko kerosakan jika ia tidak diganti dan terus digunakan,” kata Kakaraparthi.

Tambah beliau lagi, syarikat-syarikat yang terlibat serta kerajaan akan menghadapi “tekanan” untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

Kebanyakan negara di dalam rantau ini (kecuali Australia dan Thailand) tidak mempunyai undang-undang atau peraturan yang kukuh yang boleh dijadikan panduan untuk syarikat-syarikat minyak menjalankan proses penutupan.

Oleh itu, semua syarikat perlu menguruskan segala kos tanpa melakukan sebarang kesalahan yang boleh merosakkan alam sekitar dan membuatkannya terdedah kepada ‘liabiliti’.

Ini juga merupakan waktu yang buruk bagi syarikat-syarikat terbabit yang sedang ‘mengikat perut’ dalam usaha mengembalikan keuntungan.

Namun begitu, Kakaraparthi berkata, penutupan telaga minyak dan gas sebenarnya boleh juga mendatangkan keuntungan sekiranya negara dan syarikat yang terlibat melabur dalam infrastruktur dan tenaga kerja yang diperlukan untuk melaksanakannya.

“Rantau ini mempunyai kapasiti industri yang kukuh. Syarikat-syarikat seperti Keppel corp dan Sembcorp Marine Ltd di Singapura ‘menaikkan’ diri mereka menerusi platform ini,” ujar beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.