AntarabangsaIsu Semasa

Perang Rasuah: Duterte ‘Musnahkan’ Kenderaan Mewah

Seluruh dunia sudah mengetahui bahawa Presiden Filipina, Rodrigo Duterte adalah seorang pemimpin yang ‘cakap serupa bikin’.

Turut diberi gelaran “The Punisher”, beliau berikrar untuk melaksanakan operasi brutal perang dadah ketika berkempen dalam pilihan raya pada tahun 2016, dan janji itu benar-benar dikotakan olehnya selepas dilantik menjadi presiden.

Berdasarkan data polis, hampir 4,000 suspek dadah telah dibunuh tanpa bicara sepanjang tempoh pemerintahannya setakat ini.

Kini, Duterte sekali lagi mengambil langkah ‘brutal’ dalam memerangi rasuah pula, di mana beliau mengarahkan pihak berkuasa untuk memusnahkan 30 kenderaan mewah yang bernilai 61.6 juta pesos (RM 12.8 juta).

Antara kenderaan yang dimusnahkan termasuk Jaguar, Lexus, Corvette Stingray, dan kenderaan-kenderaan lain buatan Jerman serta Jepun.

Memetik laporan AFP, pihak berkuasa menyatakan bahawa kenderaan-kenderaan mewah tersebut dirampas selepas ia diseludup masuk ke dalam negara.

“Hancurkannya (kereta) sehingga menjadi besi buruk. Saya akan menanggungnya, tiada masalah,” kata duterte kepada kakitangan kastam.

Pada kebiasaannya, kenderaan-kenderaan seludup yang dirampas akan dilelong oleh kerajaan, namun pemerintahan Duterte mengambil pendekatan yang lebih ‘menakutkan’.

Berdasarkan beberapa kajian bebas, Jabatan Kastam Filipina sentiasa berada di antara kedudukan yang tertinggi dalam senarai agensi kerajaan yang paling korup.

Menurut Pesuruhjaya Kastam, Isidro Lapena, beliau telah menukar 691 daripada 7,000 kakitangannya sejak mula memegang jawatan itu pada bulan Ogos tahun lepas.

Sementara itu, dua kakitangan telah dipecat manakala 16 orang lagi digantung kerja susulan dakwaan menjalankan kegiatan haram.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button