AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Bahana Menghina Raja Di Kemboja

Baru-baru ini, kerajaan Kemboja telah meluluskan undang-undang ‘Lese Majeste’ pertama di negara itu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun bagi sesiapa sahaja yang didapati bersalah menghina raja.

Lese Majeste merupakan perkataan daripada bahasa Perancis, di mana ia merujuk kepada sebarang kesalahan yang mencemarkan kedaulatan institusi beraja.

Walau bagaimanapun, kelulusan undang-undang ini mencetuskan ketakutan dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia yang bimbang jika ia digunakan untuk ‘mendiamkan’ pengkritik.

Tetapi, penguatkuasaan Lese Majeste di Kemboja tidak seberat seperti yang dilaksanakan di negara jiran Thailand, kerana seseorang individu boleh meringkuk dalam penjara selama berdekad-dekad bagi setiap kesalahan menghina/mengkritik institusi raja di sana.

Memetik laporan Malay Mail Online, undang-undang tersebut diluluskan dalam satu mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

“Undang-undang baru ini diperuntukkan dalam kod jenayah untuk menegakkan dan melindungi reputasi dan nama (institusi) diraja.

“Sesiapa yang menghina Raja akan dijatuhkan hukuman penjara di antara setahun sehingga lima¬† serta bayaran denda sebanyak AS$ 2,500 (RM 9,770),” kata jurucakap kerajaan, Phay Siphan.

Dalam pada itu, Hun Sen juga dianggap sebagai seorang ‘diktator’ susulan tindakannya memansuhkan parti pembangkang,¬†Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP), dan ramai pihak mendakwa itu adalah ‘taktik’ bagi mengukuhkan lagi kedudukan beliau dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada bulan Julai.

Sejak Hun Sen dilantik menjadi pemimpin, kuasa diraja dilihat semakin lemah memandangkan beliau mengawal ketat negara itu selama 33 tahun pemerintahannya.

Raja Kemboja, Raja Sihamoni yang menaiki takhta pada tahun 2004, dianggap sebagai simbol ketua negara yang ‘tidak bersuara’ dan menjalani kehidupan sederhana.

Ini merupakan perbezaan yang amat ketara berbanding ayah baginda, yang dilaporkan sering ‘bertengkar’ dengan kerajaan.

Raja Sihamoni juga dihormati oleh ramai rakyat tempatan, di mana kedudukan baginda dilihat lebih tinggi daripada politik negara.

Dengan adanya undang-undang baru ini, kedudukan dan kuasa baginda akan mula bertambah kukuh.

Tetapi, kumpulan hak asasi manusia memberi amaran bahawa Lese Majeste mungkin akan digunakan sebagai senjata politik dan mendakwa bahawa Hun Sen seringkali masuk campur dalam urusan mahkamah.

“Undang-undang ini adalah satu ‘tamparan hebat’ terhadap hak kebebasan bersuara,” kata Brad Adams daripada Human Rights Watch.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button