Politik

Apakah Faedah Daripada Kempen #UndiRosak?

Ahli politik dari pelbagai parti bersama-sama menentang kempen #UndiRosak yang semakin menular dan disasarkan kepada golongan belia, dengan mengatakan setiap orang harus menggunakan hak mereka untuk mengundi, walaupun mereka kecewa dengan keadaan politik dalam negara.

Menggunakan tanda pagar #undirosak dan #protespru, ramai yang telah menyertai gerakan media sosial itu untuk menyatakan kekecewaan mereka kepada kedua-dua belah parti politik dan memboikot pilihan raya umum ke-14.

Menurut Malaysianaccess, kempen #UndiRosak yang kini sedang hangat di pelbagai platform media sosial adalah berkisarkan tentang perasaan kecewa dan tidak puas hati anak muda mengenai situasi politik semasa tanahair.

Kelompok anak muda yang mencetuskan kempen ini pada asalnya penyokong pembangkang yang mahu melihat kerajaan Barisan Nasional ditukar pasca PRU nanti. Namun, pemilihan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai anti-tesis kepada agenda perubahan yang mereka harapkan.

Bagi mereka, pemilihan Mahathir sebagai calon ketua kerajaan menjadikan PH tidak lebih baik daripada BN yang mahu mereka tukar. Maka kempen #UndiRosak diwujudkan bagi menggalakkan orang ramai turun pada hari mengundi, tetapi dengan matlamat merosakkan undi sebagai satu bentuk protes kepada pilihan yang ditawarkan baik oleh BN mahupun oleh PH.

Namun begitu, harus disedari bahawa kempen ini tidak menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya akan menjejaskan amalan demokrasi negara. Pihak kerajaan dan pembangkang, kedua-duanya menolak penganjuran kempen ini kerana undi rosak tidak akan mengubah keputusan di peti undi. Keputusan dibuat pada undi yang sah dan undi rosak akan diketepikan.

Tindakan kumpulan ini yang mempelopori kempen #UndiRosak ini tidak boleh sama sekali dilihat sebagai satu inisiatif yang baik, lebih-lebih lagi ianya melibatkan soal pemilihan pemimpin dan penentuan masa depan negara.

Menggalakkan orang ramai untuk turun ke peti undi dan merosakkan undi tersebut tidak memberikan apa-apa makna selain hanya membazirkan masa dan tenaga. Pengundi terutamanya belia seharusnya membuat pilihan pemimpin dalam sistem demokrasi melalui pembuangan undi dan keputusan merupakan hasil dapatan daripada undi yang adil serta saksama.

Tanpa mengira siapa pun pihak yang untung ataupun rugi akibat daripada kesan kempen #UndiRosak ini, rakyat perlu menolak sekeras-kerasnya kempen seumpama ini jika kita benar-benar serius mahu melangkah setapak ke hadapan ke arah melahirkan masyarakat yang celik politik.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker