Bisnes & Ekonomi

Kepentingan Dasar Perdagangan Dalam Pengurusan NCD

DEFINISI NCD

Non-Communicable Diseases (NCD) adalah penyakit kronik yang tidak disebarkan daripada seseorang kepada orang lain seperti penyakit berjangkit. Contoh bagi penyakit berjangkit adalah tuberculosis (batuk kering).

CIRI-CIRI NCD

Menurut sebuah laporan oleh Khazanah Research Institute, NCD boleh dicegah dan kebanyakannya dikaitkan dengan pilihan gaya hidup serta tingkah laku individu, seperti merokok, penyalahgunaan alkohol dan amalan pemakanan tidak sihat (sebagai contoh, pemakanan yang tinggi kandungan gula dan/atau garam).

NCD DIDAPATI PENYEBAB UTAMA KADAR KEMATIAN PRAMATANG DI MALAYSIA

Penyebab utama kematian pramatang di Malaysia adalah penyakit jantung, iaitu sejenis penyakit yang sering dikaitkan dengan pilihan gaya hidup.

NCD didapati merupakan penyebab utama kadar kematian di negara ini apabila penyebab utama kadar kematian di negara ini dibandingkan dengan empat jenis NCD utama yang disenaraikan oleh WHO.

Keempat-empat jenis NCD ini merupakan antara sepuluh penyebab utama kematian di Malaysia:

  • Penyakit kardiovaskular (contohnya serangan jantung dan strok) – serangan jantung merupakan penyebab nombor satu kematian, manakala strok penyebab ketiga.
  • Kanser (contohnya kanser kerongkong dan paru-paru) – penyebab kelapan kematian.
  • Penyakit respirasi kronik (contohnya penyakit paru-paru dan asma) – penyebab keenam kematian.
  • Diabetes – penyebab kesembilan kematian.

Keempat-empat penyakit ini merangkumi 39.8% daripada kadar kematian di Malaysia pada 2015.

Kajian telah menunjukkan bahawa satu-satunya cara yang boleh dilakukan oleh individu adalah dengan melakukan perubahan tingkah laku, antaranya seperti menjaga corak pemakanan dan melakukan aktiviti fizikal.

Namun begitu, oleh sebab NCD kini telah dikenalpasti secara rasmi antara penyebab utama kematian di Malaysia maka kerajaan juga tentulah mengambil langkah untuk melaksanakan dasar yang bertujuan untuk mengurangkan faktor risiko yang dikaitkan dengan penyakit seumpama ini.

KEPENTINGAN PERDAGANGAN DALAM PENGURUSAN NCD

Terdapat beberapa kepentingan perdagangan dalam pengurusan dan pengurangan bilangan kes NCD antaranya adalah untuk mengurangkan pertambahan bilangan kes NCD, mendidik rakyat dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan disebabkan NCD.

Mengurangkan Pertambahan Bilangan Kes NCD di Malaysia

 Walaupun kebanyakan dasar dalam mengawal dan mengurangkan bilangan kes NCD merupakan dasar kesihatan, sesetengah dasar ini mempunyai kaitan dengan dasar perdagangan.

Hal ini adalah kerana apa yang kita makan dan minum tidak semuanya dihasilkan di Malaysia.

Sebagai contoh Malaysia mengenakan tarif. Tarif adalah sejenis cukai yang dikenakan ke atas barangan apabila mereka dibawa masuk merentasi suatu sempadan negara.

Jadi penggunaan tarif boleh meninggalkan kesan kepada produk yang berkenaan kerana barang import yang dikenakan tarif akan mengalami kenaikan harga yang sangat ketara berbanding produk tempatan.

Wain dari Australia yang dieksport ke negara ini adalah antara produk yang sedang dikenakan tariff.

Pada tahun 2015, nilai wain Australia yang dieksport ke negara ini adalah, AUD53j (RM155j) manakala tarif yang dikenakan terhadap wain Australia adalah antara RM7 hingga RM23 seliter.

Tindakan ini boleh mengekang rakyat daripada membeli produk ini kerana harganya yang menjadi lebih mahal apabila dikenakan tariff.

Jadi dasar Malaysia dalam isu perdagangan seperti mengenakan tarif merupakan sebagai langkah pengurangan bilangan kes NCD daripada permulaan lagi, iaitu sebelum produk tersebut dibawa masuk ke negara ini.

Mendidik Rakyat dalam Mengurangkan Bilangan Kes NCD

 Secara umumnya, kerajaan berusaha untuk memastikan keseimbangan antara memberikan kebebasan kepada rakyat untuk memilih cara hidup sambil mendidik mereka, dengan mewujudkan insentif atau sekatan terhadap pilihan gaya hidup yang tertentu.

Sebagai contoh dalam usaha mengekang pengambilan tembakau oleh rakyat Malaysia, kerajaan Malaysia menetapkan undang-undang yang selari dengan komitmen yang dituntut oleh WHO FCTC.

Sebagai sebahagian daripada usaha global untuk mengurangkan bilangan perokok, WHO memperkenalkan FCTC pada 2003. FCTC merupakan perjanjian yang sah di sisi undang-undang yang dirundingkan di WHO.

Pada masa ini, terdapat 180 negara yang telah menandatangani FCTC, Malaysia adalah salah sebuah negara tersebut.

Matlamat yang terkandung dalam perjanjian FCTC adalah:

“untuk menangani sesetengah punca epidemik (tembakau), antaranya faktor yang kompleks yang membabitkan kesan antarabangsa, seperti liberalisasi perdagangan dan pelaburan (langsung asing), serta pengiklanan, promosi dan penajaan tembakau”

Kerajaan yang menandatanganinya bertanggungjawab untuk menggubal dan melaksanakan langkah kawalan tembakau berasaskan bukti untuk mengawal penawaran dan permintaan tembakau domestik dalam usaha untuk mengurangkan kes kematian dan penyakit yang berkait dengan tembakau.

Peraturan Kawalan Produk Tembakau (Control of Tobacco Products Regulations) menyatakan bahawa mesej tentang amaran kesihatan harus meliputi sekurang-kurangnya 55% daripada maklumat yang dipaparkan pada kotak rokok yang hendak dijual dalam pasaran negara.

Jadi boleh dirumuskan di sini tindakan kerajaan meletakkan amaran kesihatan sebanyak sekurang-kurangnya 55% daripada permukaan kotak rokok bagi membolehkannya dijual dalam negara ini adalah antara salah satu cara mengurangkan pertambahan bilangan kes NCD dalam negara menerusi dasar perdagangan.

Mengurangkan Kos Penjagaan Kesihatan Disebabkan NCD

 Selain itu, dengan tercapainya matlamat dasar untuk mengurangkan risiko NCD, melalui dasar perdagangan, maka beban kos penjagaan kesihatan, terutamanya kos rawatan pesakit yang menghidap NCD melalui penjagaan kesihatan awam, juga dapat dikurangkan.

Sebagai contoh, 19.6% daripada kes di hospital awam negara pada 2015 adalah disebabkan penyakit respirasi (termasuk kanser paru-paru) dan sistem peredaran darah (termasuk strok dan penyakit jantung).

CONTOH DASAR PERDAGANGAN LAIN UNTUK MENGURANGKAN PERTAMBAHAN KES NCD

Antara dasar kerajaan lain untuk mengehadkan atau mengharamkan aktiviti pemasaran dalam mengekang penyebaran NCD adalah seperti berikut.

  • Penggalakan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal:

Gula-gula dan coklat dilarang dijual di sekolah.

  • Pengurangan pengambilan alkohol yang boleh memudaratkan:

Makanan dan minuman yang mengandungi alkohol dilarang dijual di sekolah.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker