AntarabangsaIsu Semasa

Wanita Iran Protes Kewajipan Berhijab

Polis Tehran telah menahan 29 wanita kerana muncul di khalayak umum tanpa tudung sebagai protes terhadap kod pakaian yang berkuat kuasa sejak revolusi Islam 1979 dipergiatkan. Mereka yang ditangkap telah dituduh melakukan kesalahan awam dan dirujuk ke pejabat pendakwa negeri.

Ketua pendakwa, Mohammad Jafar Montazeri mengatakan protes yang semakin meningkat itu sebagai “remeh” dan “kebudak-budakan”. Gerakan itu juga didakwa tercetus kerana hasutan orang asing.

Wanita Iran melakukan protes dengan melayangkan tudung pada hujung kayu di tempat awam. Imej kejadian yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang menunjukkan sekurang-kurangnya 11 orang wanita yang memprotes cara yang sama telah banyak dikongsi di media sosial.

Montazeri berkata pelanggaran peraturan “hijab” yang mewajibkan pemakaian tudung dan pakaian sederhana, semestinya telah digalakkan oleh orang luar. Tetapi orang Iran yang konservatif dalam agama juga turut menyuarakan sokongan untuk protes dan mengatakan bahawa peraturan pemakaian dalam agama adalah pilihan peribadi setiap individu.

Sekurang-kurangnya dua gambar yang dikongsi di Twitter menunjukkan wanita dalam jubah hitam tradisional, berdiri di atas kotak tiang dengan sepanduk yang menyokong kebebasan pilihan untuk wanita. Satu sepanduk bertulis: “Saya suka tudung saya tetapi saya menentang kewajipan bertudung.”

Aktivis wanita, Azar Mansouri, ahli parti pembangkang Kesatuan Rakyat Islam Iran, berkata cubaan mengawal pakaian wanita telah gagal dalam beberapa dekad, lapor NST.

Wanita-wanita Iran semakin meremehkan peraturan pakaian mengikut cara Islam dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan tidak mengenakan tudung di atas kepala, memakai kasut but dan juga ‘legging’.

Polis moral pernah menguatkuasakan undang-undang itu, tetapi aktiviti penguatkuasaan kurang dijalankan sejak Presiden Hassan Rouhani berkuasa pada tahun 2013, menjanjikan kebebasan sivil yang lebih besar.

Ahli Parlimen Reformis, Soheila Jelodarzadeh berkata protes itu adalah tindak balas terhadap dasar-dasar yang buruk pada masa lalu di mana negara republik itu mengenakan sekatan ke atas wanita dan meletakkan mereka di bawah tekanan yang tidak sepatutnya mengenai tatacara pemakaian.

Timbalan Speaker Parlimen, Ali Motahari, turut memandang remeh pada protes itu dengan mengatakan bahawa ia bukanlah isu besar.

“Hakikat bahawa segelintir wanita melambaikan hijab mereka di udara bukanlah peristiwa besar. Kami cuma tidak mahu menunjukkan contoh yang buruk.” Katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button