Isu SemasaTempatan

Organisasi Wanita: Pendidikan Seks Komprehensif Adalah Penting

2018 tidak terkecuali dalam menyaksikan beberapa kes pembuangan bayi. Awal tahun ini terdapat kes seorang bayi yang dibuang di tepi tasik dan dalam kes lain, jasad seorang bayi ditemui di pagar Masjid.

Walaupun bilangan remaja yang hamil menurun sejak beberapa tahun lalu, sesetengah organisasi wanita ingin pihak berkuasa memberikan pendidikan dan perlindungan komprehensif untuk wanita hamil yang belum berkahwin.

Naib Presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita, Meera Samanther berkata kepada The Star masih terdapat kes yang tidak dilaporkan akibat stigma dan sistem sokongan yang tidak mencukupi.

“Kami masih memerlukan pendidikan seksualiti yang komprehensif dan akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif,” katanya.

Low Ngai Yuen, presiden dan pengasas WOMEN:girls, iaitu sebuah organisasi untuk wanita berkata terdapat kebimbangan mengenai remaja perempuan yang melahirkan bayi secara tersembunyi kerana terlibat dalam sumbang muhrim, katanya.

Tambah beliau, pendidikan holistik yang merangkumi pendidikan seks adalah penting.

“Ia bukan sekadar menahan diri (abstinence).

“Kami mahu mendidik remaja tentang tingkah laku seksual yang bertanggungjawab, hubungan, penggunaan kontrasepsi dan pengetahuan tentang penyakit kelamin,” katanya.

Kes remaja hamil di Malaysia

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, jumlah kehamilan perempuan antara 10 dan 19 telah menurun daripada 17,588 kes pada tahun 2013 kepada 16,528 kes pada tahun 2014, 13,831 kes pada 2015 dan 12,492 kes pada tahun 2016.

Daripada jumlah itu, terdapat 4,127 kes remaja hamil yang belum berkahwin pada tahun 2013, 3,980 pada tahun 2014, 3,980 pada tahun 2015 dan 3,938 kes pada tahun 2016.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menolak dakwaan bahawa penurunan itu adalah kerana kanak-kanak perempuan takut untuk tampil dan melaporkan kes-kes tersebut.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan undang-undang, program advokasi serta kempen kesedaran untuk menangani isu itu.

Beliau percaya inisiatif ini menyumbang kepada penurunan bilangan kehamilan remaja.

“Dalam program kami, kami mendidik kanak-kanak perempuan tentang implikasi kehamilan kerana sesetengah daripada mereka tidak bersedia secara fizikal atau mental.

“Kami juga mendapat sokongan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang bekerja di lapangan untuk membantu wanita-wanita muda,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button